Maybank, TikTok Shop bekerjasama bantu PKS tingkat kemahiran

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Maybank menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TikTok Shop bagi meningkatkan kemahiran dan digitalisasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ASEAN.

Program itu direka untuk memberikan pengetahuan, pemahaman, kemahiran serta alat kepada PKS bagi melangkaui model perniagaan berasaskan kedai fizikal, seterusnya mengembangkan dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar, berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen Maybank dalam memperjuangkan PKS, selaras dengan strategi M25+ syarikat.

“Peserta dalam program ini akan memperolehi pengalaman langsung yang memanfaatkan e-dagang berdasarkan kandungan, penyelesaian digitalisasi dan teknik pengurusan akaun yang dioptimumkan.

“Program ini akan bermula dengan fasa perintis di Malaysia yang meliputi tiga aktiviti utama iaitu webinar, bengkel dan pelan pemecut,” katanya pada majlis menandatangani MoU di sini, hari ini.

Syed Ahmad berkata, peserta dalam program pemecut akan mendapat akses bimbingan serta pengajaran khusus daripada TikTok Shop dan Maybank selama tempoh enam bulan.

“Kohort pertama peserta bengkel dan program pemecut ini akan memberi tumpuan kepada usahawan wanita, sebagai penerusan inisiatif HERpower Maybank,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkongsian Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata kerjasama dengan Maybank itu akan mempercepatkan pertumbuhan PKS di Asia Tenggara.

“Program ini akan memberi impak sebenar kepada perniagaan kecil dalam ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini dan kami percaya para usahawan mempunyai potensi untuk mencipta kesan berpanjangan untuk komuniti mereka.

“Dengan menyediakan ekosistem penyelesaian yang menyeluruh dan berteraskan nilai di luar perkhidmatan perbankan tradisional, kami berharap dapat menyokong dan memastikan kelangsungan perniagaan pada setiap peringkat pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, TikTok Shop menyasar untuk bekerjasama dengan pemimpin industri yang berkongsi visi yang sama bagi mencipta kesan pengganda dalam meningkatkan usahawan di rantau ini.

“Kami teruja untuk merintis program ini di Malaysia, yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan terutama wanita dengan sumber dan pengetahuan untuk berkembang maju di TikTok Shop, selaras dengan usaha negara untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464