KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang pertumbuhan yang hadir dengan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, khususnya dalam bidang kemampanan, kewangan peralihan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam Laporan Tahunan 2024 bertemakan ‘Purpose Driven with Agility’, Maybank menegaskan komitmennya untuk meneroka peluang dalam perdagangan dan kewangan Islam serta pengurusan kekayaan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kepengerusian ASEAN oleh Malaysia adalah perkembangan positif yang bakal menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara individu, perniagaan dan kerajaan di peringkat serantau.
“Dengan kehadiran kesemua 10 negara anggota ASEAN, Maybank ingin memanfaatkan sepenuhnya peluang yang akan muncul,” katanya dalam laporan itu.
Mengulas mengenai prospek ekonomi global pada 2025, beliau berkata pertumbuhan dijangka sederhana pada kadar 2.9 peratus berikutan prospek ekonomi utama yang kurang memberangsangkan.
Namun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dijangka kekal berdaya tahan pada 4.7 peratus (2024: 5.0 peratus), didorong oleh keadaan monetari domestik yang longgar, peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) serta pemulihan perbelanjaan pengguna pada separuh kedua tahun ini.
Bagi Malaysia, pertumbuhan KDNK diunjurkan pada kadar 4.9 peratus pada 2025, dipacu oleh pelaksanaan projek di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.
“Saya yakin dengan prospek industri perbankan, terutama dengan Belanjawan 2025 yang memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi dan pembaharuan transformatif bagi memastikan kemakmuran rakyat berterusan,” katanya.
Menurutnya, pelan hala tuju yang jelas bakal menarik FDI yang signifikan sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berprestasi tinggi di rantau ini.
Maybank kini dalam fasa terakhir pelaksanaan strategi M25+ dan berhasrat menutup fasa ini dengan pencapaian cemerlang sebelum membangunkan pelan jangka sederhana baharu bagi memastikan pertumbuhan mampan dan evolusi berterusan.
Bagi tahun kewangan dinilai, Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.09 bilion dengan pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11.1 peratus.
Pertumbuhan pinjaman kumpulan dipacu oleh pasaran utama iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus, 8.9 peratus dan 11.7 peratus.
“Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi kukuh dalam segmen pengguna, bukan runcit dan korporat, khususnya dalam sektor bukan runcit serta pasaran pertengahan. Segmen gadai janji juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan keupayaan jualan silang kami,” katanya.
Dari segi deposit, jumlah simpanan keseluruhan meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun, dengan akaun semasa dan simpanan (CASA) naik 5.5 peratus, dipacu oleh Singapura (18.0 peratus), Indonesia (6.6 peratus) dan Malaysia (5.0 peratus).
Deposit tetap turut meningkat 5.8 peratus, didahului oleh Singapura (18.9 peratus) dan Malaysia (15.3 peratus), sementara nisbah CASA kumpulan kekal stabil pada 36.5 peratus berbanding 36.8 peratus pada tahun sebelumnya.
“Indikator mudah tunai kami terus kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai dan nisbah pembiayaan stabil bersih masing-masing berada pada tahap 134.0 peratus dan 116.4 peratus,” katanya.
-BeritaHarian