Mayat wanita Myanmar dijumpai dengan pisau terpacak di leher

Estimate Reading Time: 2 minutes

BUTTERWORTH- Mayat seorang wanita warga Myanmar ditemukan berlumuran darah disyaki dibunuh suaminya yang juga dari negara sama, di rumah sewa mereka di tingkat 19 sebuah apartment di Butterworth, di sini malam ini.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat mangsa, Yoon Hati Htike, 29, yang bekerja sebagai pembantu klinik itu ditemukan dalam bilik utama rumah sewa itu selepas polis memanggil pemilik rumah berkenaan untuk membuka kediaman tersebut selepas wanita itu tidak datang bekerja sejak tiga hari lepas.

“Polis menerima laporan daripada majikan wanita itu memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja dan gagal menghubunginya sebelum kami berjaya mengesan alamat rumah wanita tersebut kira-kira pukul 8 malam ini serta memanggil pemilik rumah untuk membukanya kerana berkunci,” katanya kepada pemberita, di sini malam ini.

Beliau berkata sebaik rumah itu berjaya dibuka, terdapat kesan darah di beberapa tempat di situ dan polis membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat wanita tersebut dibungkus dalam selimut serta diletakkan di bawah katil di bilik utama kediaman berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa masih tercucuk di lehernya dan terdapat juga beberapa kesan tikaman di badan wanita itu.

Noorzainy berkata siasatan awal dan berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau busuk, wanita itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam dan suaminya yang juga berusia 29 tahun dipercayai melarikan diri selepas kejadian tersebut.

-Advertisement-

“Mangsa dan suaminya menyewa di rumah itu sejak empat bulan lepas. Mereka berdua merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku disebabkan suami mangsa cemburu dengan isterinya dan wanita itu juga pernah bercerita dengan majikannya lelaki berkenaan pernah mengugut untuk membunuhnya.

Majikan mangsa meminta wanita itu membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan mangsa, namun dia tidak sempat membuat laporan kerana dipercayai dibunuh suaminya, katanya.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, polis kini dalam usaha mengesan suspek bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427