Martinez tabik Ronaldo

Estimate Reading Time: < 1 minute

FRANKFURT: Jurulatih Portugal, Roberto Martinez memuji Cristiano Ronaldo selepas perlawanan penuh dramatik berdepan Slovenia pada aksi pusingan 16 terakhir Euro 2024, awal pagi tadi.

-Advertisement-

Kapten Portugal itu menangis selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada masa tambahan menyebabkan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat permainan.

Bagaimanapun, dia berjaya menebus kegagalan itu apabila menyempurnakan sepakan pertama pada penentuan penalti sebelum penjaga gol, Diogo Costa menafikan tiga penalti Slovenia untuk membawa Portugal mara ke peringkat suku akhir.

“Dia (Ronaldo) sepatutnya tidak terlalu gusar, sebab itu saya berterima kasih kepadanya kerana menjadi diri sendiri dan mengambil berat terhadap pasukan.

“Saya sangat pasti dia perlu menjadi pemain yang mengambil sepakan pertama untuk menunjukkan jalan kemenangan kepada kami.

“Kami semua berasa bangga dengan kapten kami. Suasana dalam bilik persalinan juga sentiasa dalam keadaan baik dengan apa yang dilakukannya.

“Saya fikir dia memberikan kami semua satu pengajaran, anda perlu hidup setiap hari seolah-olah ia adalah hari yang terakhir.

“Anda tidak boleh berputus asa – kehidupan dan bola sepak memberi anda saat-saat sukar dan cara dia memberi reaksi adalah contoh sebenar yang kami banggakan dalam bola sepak Portugal,” kata Martinez.

-Advertisement-

Portugal seterusnya dijadual bertemu Perancis pada aksi suku akhir, awal pagi Sabtu ini.

Perancis mara selepas menundukkan Belgium 1-0 dalam satu lagi aksi pusingan 16 terakhir yang turut berlangsung, awal pagi tadi.

“Sekarang kami akan fokus perlawanan menentang Perancis. Tiga hari sudah cukup untuk kami melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Perancis sebuah pasukan yang kuat dan lawan yang lebih sukar. Mereka boleh memberikan banyak masalah kepada kami,” kata Martinez.

-REUTERS

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373