Martin, Bagnaia rentap di Assen

Estimate Reading Time: < 1 minute

ASSEN, Belanda: Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia sudah bersedia untuk mencabar pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024, Jorge Martin pada Grand Prix (GP) Belanda di Assen hujung minggu ini.

-Advertisement-

Jurang kelebihan kutipan mata Martin yang beralih dari pasukan satelit Ducati ke Aprilia musim depan kini berkurangan kepada 18 mata berbanding ‘Pecco’ Bagnaia, ketika seterunya itu sedang memburu gelaran juara dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Bagnaia berada di momentum terbaiknya apabila meraih kemenangan berturut-turut di Catalunya dan di litar halaman sendiri Mugello dan pelumba pasukan utama pengeluar Ducati itu kembali untuk beraksi di salah satu litar kegemarannya di Assen.

Bagnaia memenangi perlumbaan di Assen pada 2022 dan 2023 dan pencapaiannya itu menjadikannya sebagai pelumba Itali pertama yang melakar kejayaan berturut-turut sejak kali terakhir dilakukan Valentino Rossi pada 2004-2005.

“Saya menggemari litar ini dan juga penonton yang hadir,” kata Bagnaia, 27, mengulas mengenai litar bersejarah dan atmosfera di Assen.

Awal bulan lalu, Martin yang diberi jolokan ‘Martinator’ menyertai Aprilia bermula dari musim 2025 dengan menandatangani kontrak jangka masa panjang.

-Advertisement-

Kekosongan di Aprilia berlaku selepas pelumba veteran Sepanyol, Aleix Espargaro mengumumkan dia akan bersara pada hujung musim ini.

Penampilan Espargaro di Assen adalah yang terakhir buatnya – litar yang menyaksikannya tampil kali pertama sebagai pelumba gantian pasukan Balatonring pada 2009.

-AFP

-TheStar


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373