TAWAU: Perbicaraan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu mangsa, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, kembali ke bilik asramanya selepas kejadian ditolak dan ditampar di bilik asrama 5 Belian pada Mac tahun lalu.
Tertuduh ke-13 berkata, dia turut mengikut Mohamad Nazmie Aizzat kembali ke bilik asrama mereka di 7 Resak.
“Pada masa itu, mangsa masih OK. Saya ada menasihatinya dan bertanya kenapa dia mencuri, tetapi dia diam saja sambil main telefon bimbit dia.
“Selepas itu, dia cakap mahu pergi mandi. Saya tolong ambilkan tuala dan alat mandi, kemudian saya ke bilik asrama 1 Belian main ‘game’ dan makan mi segera,” kata saksi pembelaan ke-15 itu yang juga rakan rapat mangsa dalam pernyataan saksi pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Pada 28 Februari lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, atau Ijat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac lalu hingga jam 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh ke-13 juga memberitahu ada menampar mangsa sebanyak sekali di bahagian belakang, tetapi tidak kuat.
Dalam pernyataan saksinya, tertuduh ke-13 juga berkata, dia dan suspek lain diarah oleh seorang guru dikenali ‘Cikgu Firdaus’ menulis pengakuan di atas kertas A4 iaitu memukul mangsa, sebelum guru berkenaan menyerahkan kertas A4 itu kepada pihak polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.
-BERNAMA
-BeritaHarian