PUTRAJAYA: Penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit jantung dan risikonya berpotensi memangkin penyebaran ilmu pengetahuan kesihatan supaya masyarakat dapat memantau kesihatan dan memahami risiko penyakit jantung.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyakit jantung menjadi penyebab utama kematian di negara ini dengan menyumbang 15 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada 2019.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan perangkaan itu meruncing, terutama ketika seluruh dunia sedang berdepan pandemik COVID-19 menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit lain menjadi lebih sukar.
“Oleh yang demikian, penggunaan teknologi digital sedia ada secara optima akan membantu kita untuk bukan saja antara satu sama lain dan di mana saja kita berada, malah ia dapat memastikan semua lapisan masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan.
“Melalui teknologi dan aplikasi kesihatan digital, agensi lain seperti badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak akademik dan lain-lain dapat berperanan dalam memberi sokongan yang diperlukan kepada pesakit jantung serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan media sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2021 bertemakan ‘Sayangi Jantung dan Terus Berhubung’ hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sempena sambutan itu juga KKM ingin menekankan tiga mesej utama untuk orang ramai memastikan kesihatan diri, menggunakan teknologi untuk mendapatkan maklumat sahih serta bantuan.
Katanya, orang ramai perlu memelihara jantung masing-masing dengan mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol.
“Mereka perlu mengekalkan gaya hidup aktif dan mengurangkan tekanan, selain mengoptimumkan penggunaan aplikasi kesihatan digital bagi membantu mereka berada pada landasan yang betul sebagai motivasi diri.
“Ia adalah langkah pemerkasaan diri yang penting supaya anda kekal dapat memacu kehidupan dengan baik. Teknologi kesihatan digital boleh membantu anda mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kesihatan diperlukan dengan cepat dan tepat.
“Bagaimanapun, pastikan maklumat kesihatan daripada saluran yang sahih dan boleh dipercayai. Jangan biarkan COVID-19 menghalang anda untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, termasuk saringan kesihatan dan rawatan bagi mengawal penyakit anda seperti penyakit jantung, diabetes dan hipertensi,” katanya.
Beliau berkata, rangkaian digital berperanan penting untuk menghubungkan pesakit dengan keluarga, rakan, pesakit lain, doktor dan lain-lain selain untuk memastikan mereka tidak bersendirian semasa pandemik.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, adalah penting orang ramai menjalani saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya mengelakkan komplikasi seperti penyakit jantung.
“Justeru, masyarakat digalakkan manfaatkan program kerajaan seperti Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN), program saringan kesihatan PERKESO, klinik dengan perkhidmatan PeKa B40 dan klinik swasta untuk saringan dan intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.
“Umum mengetahui pesakit penyakit jantung adalah berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius jika dijangkiti COVID-19. Selain melengkapkan vaksinasi serta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu, pesakit perlu kekal sihat bagi meningkatkan daya ketahanan diri daripada penyakit COVID-19 dan komplikasinya,” katanya. -BH