Malaysia pulang awal dari BAMTC

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) selepas tewas 2-3 di tangan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B di Qingdao, China sebentar tadi.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut skuad negara selepas turut tewas dalam aksi pertama kumpulan 2-3 di tangan Hong Kong, semalam.

Pada aksi di Pusat Sukan Qingdao itu, Malaysia perlu menang ke atas Indonesia untuk mara ke kelompok lapan terbaik.

Bagaimanapun, Indonesia yang membelasah Hong Kong 5-0 dalam aksi pertama Selasa lalu bermula garang apabila mengutip mata pertama menerusi beregu campuran, Rinov Rivaldy-Siti Fadia Ramadhanti yang mengejutkan pasangan nombor empat dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 17-21, 21-13, 21-18 dalam tempoh 64 minit.

Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa turut mengalami kekalahan apabila tunduk kepada Komang Ayu Cahya Dewi 12-21, 19-21 sekali gus membolehkan Indonesia mendahului 2-0.

Pemain perseorangan lelaki negara yang menghuni ranking ke-28 dunia, Leong Jun Hao kembali merapatkan 2-1 buat Malaysia apabila berjaya menundukkan Yohannes Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12 dalam tempoh 80 minit.

Bagaimanapun, pintu Malaysia untuk ke suku akhir tertutup selepas beregu wanita, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee tewas dalam pertarungan tiga set 21-18, 7-21, 17-21 di tangan Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Rose.

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun sekadar melengkapkan jadual tetap memberi menampilkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Muhammad Shohibul Fikri- Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.

Kegagalan ke suku akhir turut menyaksikan Malaysia terlepas tiket automatik ke saingan Piala Sudirman dengan hanya empat pasukan terbaik daripada BAMTC layak ke kejohanan berprestij itu yang akan diadakan di Xiamen, China pada Mei depan.

Bagaimanapun, Malaysia tetap akan beraksi di Piala Sudirman tahun ini menerusi kedudukan ranking dunia.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464