Malaysia perlu bersedia, pelaburan semakin rancak masuk – Anwar

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersiap sedia dengan semua prasarana, infrastruktur dan sumber tenaga tempatan supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya kemasukan pelaburan asing, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, ia kerana kerancakan pelaburan ke Malaysia, semakin pesat berbanding keadaan sebelumnya.

“Saya percaya saudara yang cukup pengalaman dalam pelbagai bidang ini dapat mengenal pasti beberapa langkah yang perlu diambil kerana saya lihat soal pelaburan, kedatangan pelaburan itu kian rancak.

“Mengambil contoh apabila Amazon Web Services (AWS) masuk (melabur di Malaysia), kalau kita hanya tunggu pelaburan, kita tak menyiapkan jentera, kemahiran, pekerjaan, infrastruktur, ia akan menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

AWS sebelum ini dilaporkan bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion hingga 2037.

-Advertisement-

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa AWS komited kepada pelaburan teknologi antarabangsa terbesarnya setakat ini di Malaysia.

Katanya, dengan pelaburan baharu AWS itu, pihaknya berharap dapat melihat peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital dan kepercayaan digital dalam masyarakat Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kementerian Kewangan serta agensi dan jabatan berkaitan perlu mengenal pasti program berkaitan dan membantu menyelaraskan bidang berkenaan.

“Apabila saya melihat keperluan mereka (AWS), nampak tahap kemahiran kepakaran tertinggi itu, tidak terdapat sedikit sekali keupayaan, jadi kita terpaksa kenal pasti program ini dan sebab itulah Kementerian Kewangan (perlu) membantu menyelaraskan, mengetahui apa bidang yang kurang dan kalau perlu, kita akan (beri) peruntukan khas tambahan untuk latihan intensif.

“Jika tidak, apabila mereka masuk mulai akhir tahun ini atau tahun depan, dalam soal mengambil pekerja, dia terpaksa ambil dari luar negara. Ini hal yang harus kita pantau dan segerakan tindakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga akan membawa perkara terbabit dalam mesyuarat Kabinet esok. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427