KUALA LUMPUR: Malaysia bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan terus memberikan tekanan supaya hasrat Israel melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza tidak berlaku.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebab itulah Malaysia menyertai kumpulan negara Arab dan OIC untuk terus memberikan tekanan berterusan serta menghalang hasrat rejim Israel itu.
Beliau berkata, meskipun rancangan rejim itu sudah diketahui sejak dua minggu lalu, sehingga kini tindakan tidak bertanggungjawab itu masih belum dilakukan.
“Walaupun sudah lebih dua minggu mereka merancang, (pencerobohan darat ke atas Gaza) masih belum dilakukan.
“Tetapi kita tak boleh mengambil mudah, sebab mereka sedang siap sedia untuk melakukannya. Sebab itulah Malaysia dan negara OIC bertungkus lumus dalam beberapa hari ini bagi memastikan perkara ini tak dilakukan,” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Media antarabangsa hari ini melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan negaranya sedang bersedia untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza.
Katanya, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas, akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan beliau sendiri sepatutnya berada di New York untuk bersama-sama rakan sejawat dari negara lain sempena Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau ditugaskan untuk berada di tempat lain, bagi melaksanakan misi untuk mengekang tindakan yang mahu digerakkan Israel itu.
Terdahulu, Wisma Putra melalui kenyataan memaklumkan Malaysia menyokong gesaan diadakan Sesi Khas Kecemasan pada UNGA di ibu pejabat PBB di New York hari ini.
Wisma Putra berkata, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sidang Tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.
Sokongan itu dinyatakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berkenaan situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk Timur Baitulmaqdis.
– BeritaHarian