KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum positif pada Februari 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM223.89 bilion.
Eksport meningkat 6.2 peratus kepada RM118.26 bilion manakala import naik 5.5 peratus kepada RM105.64 bilion.
Ini menjadi pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut bagi perdagangan dan bulan kelima berturut-turut bagi eksport.
Sementara itu, lebihan dagangan meningkat kepada RM12.62 bilion, menjadikan lebihan yang ke-58 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.
Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah untuk bulan Februari.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, kenaikan eksport didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan perkilangan yang naik sebanyak 8.8 peratus kepada RM101.3 bilion.
Kenaikan ini, katanya disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang meningkat melebihi RM7 bilion.
“Keluaran pertanian, khasnya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada kenaikan eksport.
“Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E, khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).
“Kenaikan ini selaras dengan unjuran 11.2 peratus pertumbuhan jualan semikonduktor global tahun 2025 yang dikeluarkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS),” katanya.
MITI berkata, eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat tahun ke tahun, termasuklah Mexico dan Kanada, yang dipacu oleh permintaan berterusan terhadap barangan E&E dari negara terbabit.
Menurutnya, pada dua bulan pertama tahun 2025, prestasi perdagangan negara terus mencatatkan trajektori pertumbuhan, naik 4.4 peratus kepada RM465.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Kementerian itu berkata, eksport bertambah 3.1 peratus kepada RM241.07 bilion manakala import menokok 5.9 peratus kepada RM224.79 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.28 bilion.
“Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini,” katanya.
MITI berkata, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan volum perdagangan dunia sebanyak tiga peratus pada 2025, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus.
“Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini berkemungkinan akan dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik semasa.
“Untuk mengekalkan pertumbuhan dalam perdagangan antarabangsa, MITI dan agensi promosi perdagangannya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) , komited untuk memperluaskan eksport ke pasaran sedia ada dan juga meneroka pasaran baharu,” katanya.
-BeritaHarian