Malam jiwa kacau sentuh hati penonton

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bagai kena dengan judulnya, Konsert Patah Hati 2.0 di sini, baru-baru ini, menyentuh hati penonton dengan untaian lagu dipersembahkan tujuh penyanyi popular tempatan.

-Advertisement-

Lebih 2,000 penonton tersentuh menyaksikan persembahan artis angkatan baharu iaitu Ernie Zakri, Syamel, Aisha Retno, Nadeera, Ismail Izzani, Naim Daniel dan Neeta Manis.

Pada malam itu, masing-masing menyampaikan lagu bercorak cinta, galau dan patah hati daripada seleksi popular sendiri. Ini termasuk karya sentimental malar segar dendangan penyanyi Malaysia dan Indonesia.

Tirai konsert dibuka dengan persembahan Neeta, Aisha dan Nadeera yang menyampaikan lagu Beribu Sesalan nyanyian asal Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah. Detik ini bagai menjadi ‘picu’ yang berjaya menggamatkan suasana keseluruhan konsert.
Antara kelainan dipersembahkan adalah Ernie menyanyikan lagu baharu, Masing-Masing buat pertama kali di pentas. Lagu yang dimuatkan dalam album baharu berjudul Aura sedang trending di platform media sosial.

Ernie juga ditemani suaminya, Syamel yang berduet menyanyikan lagu dipopularkan Ratu Rock, Ella, iaitu Sembilu. Syamel turut mengambil peluang menyampaikan karya baharunya, Belakang Tabir termasuk lagu hit lain iaitu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna.

Penyanyi berdarah kacukan Melayu-Indonesia, Aisha yang sebelum ini pernah muncul dalam Konsert Patah Hati pertama, Mac lalu, tampil menghibur penonton dengan lagu baharu berjudul Cukuplah dan Terbang.

Aisha turut mempersembahkan medley lagu galau dari Indonesia yang cukup popular iaitu Sang Dewi, Tak Segampang Itu, Angkat Tangan dan Berhenti Berharap.

-Advertisement-

Terus menghangatkan pentas, Naim tampil bersama band Muah buat julung kali memperdengarkan lagu Kajang dan BBF.

Naim juga mendendangkan beberapa lagu lain seperti Kau Tigakan Cinta, Sephia, Purnama dan single sendiri berjudul Adakah Kau Menungguku.

Selain itu, juara program realiti, Big Stage musim kelima, Nadeera bukan sahaja tampil dengan lagu sendiri berjudul Emas, malah memilih lagu malar segar nyanyian asal Datuk Francissca Peter iaitu Sekadar Di Pinggiran, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Seribu Kemanisan) dan Fauziah Latif (Gubahan Rindu Puisi Syahdu) untuk menghiburkan peminat.

Turut menjadikan malam konsert Patah Hati 2.0 cukup sempurna adalah persembahan hebat daripada Ismail yang mendendangkan lagu Luar Biasa dalam versi akustik termasuk beberapa lagu lain seperti Sabar, Demi Kita dan With You.

Tidak ketinggalan Neeta yang menonjolkan corak nyanyian penuh bersemangat ketika menyampaikan lagu Depresi, Hanya Mimpi dan Move On yang berjaya menghidupkan lagi suasana konsert.

Konsert Patah Hati 2.0 anjuran ANS Diversified Sdn Bhd adalah susulan kepada Konsert Patah Hati pertama yang berlangsung di lokasi sama, Mac lalu.

Acara itu mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427