DUA anak muda berusia 29 tahun, Ivor Lim Xian Z dan Chew Hoi Meng mencuri perhatian media sosial apabila berjaya mencipta Hygr, jenama tempatan yang memfokuskan produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi dan mesra alam.
Ditubuhkan ketika pandemik, jenama ini bermula apabila pasangan ini mencari penyelesaian masalah peribadi seperti bau badan dan bibir kering, seterusnya mencetuskan ilham untuk menghasilkan produk seperti deodoran dan pelembap bibir.
Deodoran yang ditawarkan Hygr tampil unik dengan formulasi tanpa aluminium, alkohol, atau paraben, serta hadir dalam lapan aroma yang menyegarkan seperti Citrus, Zen, Lavender, dan Ylang Ylang.
Ia dihasilkan dengan kombinasi bahan-bahan semula jadi seperti mentega shea, vitamin E, dan minyak pokok teh, yang bukan sahaja membantu menghilangkan bau badan tetapi juga menjaga kulit supaya kekal sihat.
Ivor berkata, produk Hygr dirumus khas untuk semua peringkat umur, terutamanya mereka yang mempunyai kulit sensitif.
“Kami mahu mencipta deodoran yang bukan sahaja berkesan tetapi juga mesra alam.
“Selepas pelbagai percubaan, kami berjaya menghasilkan deodoran yang tidak melekit dan tidak berminyak, sama seperti deodoran yang biasa dibeli di kedai tetapi tanpa bahan kimia berbahaya,” katanya kepada BH Online, baru-baru ini.
Salah satu kekuatan utama Hygr adalah pendekatan mereka yang mendengar kata-kata pelanggan dengan teliti.
Ivor berkata, mereka percaya maklum balas pelanggan adalah kunci untuk terus memperbaiki dan mengembangkan produk.
“Kami selalu membaca setiap komen dan ulasan daripada pelanggan.
“Jika ada yang beri ulasan buruk, kami akan beri produk percuma sebagai tanda terima kasih dan untuk memastikan kepuasan mereka.
“Kami juga sering memberi sampel produk baru kepada pelanggan yang memberikan maklum balas, supaya mereka boleh mencuba dan memberi pandangan jujur,” katanya.
Ivor berkongsi, mereka juga aktif mengadakan acara komuniti dan memberi sampel produk percuma di tempat-tempat awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT) sebagai strategi untuk mendekati pelanggan dengan lebih efektif.
Pihaknya percaya bahawa dengan mendengar pelanggan dan bertindak berdasarkan maklum balas pelanggan, Hygr dapat terus berkembang dan memberi kesan positif.
“Kami percaya bahawa dengan menyediakan sampel di lokasi-lokasi strategik, kami dapat memperkenalkan produk kepada lebih ramai orang dan mendapatkan maklum balas secara langsung,” katanya.
Sementara itu, Hoi Meng berkata, tindakan yang dilakukan Hygr sering diabaikan jenama besar, sebaliknya mereka sukar dihubungi dan jarang mendengar suara pelanggan.
“Kami mahu menjadi berbeza dengan berada dekat dengan pelanggan kami.
“Ini membolehkan kami bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran tetapi juga mengukuhkan hubungan dengan mereka,” katanya.
Hygr turut mengetengahkan isu kelestarian melalui pembungkusan produk yang mesra alam adalah suatu aspek yang sering diabaikan jenama besar.
Hoi Meng berkata, pihaknya ingin menawarkan sesuatu yang jenama besar tidak dapat lakukan.
“Kami percaya bahawa menyelamatkan planet ini adalah suatu yang penting dan mesti dilakukan,” katanya.
Hygr kini mempunyai produk di 39 cawangan Watsons di seluruh negara, dan bercadang untuk memperluaskan lagi ke 700 cawangan pada masa hadapan.
Selain deodoran dan pelembap bibir, Hygr turut menawarkan produk lain seperti skrub bibir dan muka, minyak rambut semula jadi, minyak wajah, loofah semula jadi dan berus gigi arang buluh.
Ivor turut berkongsi nasihat seperti mula dengan apa yang ada dan tidak menunggu waktu sempurna untuk mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan.
“Mulakan sahaja. Tidak perlu modal besar. Kami mula dengan RM1,500 sahaja dan menggunakan platform seperti Canva untuk pemasaran,” katanya.
Jenama Hygr kini bukan sahaja dilihat sebagai produk penjagaan diri tetapi juga sebagai inspirasi kepada usahawan muda untuk berani mencuba dan mengutamakan kelestarian dalam perniagaan.
Dengan mendengar kata-kata pelanggan sebagai satu pendekatan, Hygr terus membuktikan bahawa hubungan erat dengan pengguna adalah kunci kejayaan jangka panjang.
-BeritaHarian