KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang skeptikal jika diberitahu harga buku terpakai boleh mencecah hingga RM6,000.
Namun jika kena pada tajuknya, genre selain faktor sukar diperoleh dalam pasaran, membolehkan sesebuah buku terpakai mencecah harga ribuan ringgit.
Hal itu dijelaskan oleh pengasas Pasar Buku Malaysia, Zaifulnizam Wagiran yang sudah menjual buku terpakai sejak 15 tahun lalu.
Zaifulnizam berkata, secara harfiahnya buku adalah barangan yang susut nilai, namun dengan nilai tambah misalnya cetakan pertama dan tiada keluaran terbaharu, edisi terhad, bertandatangan penulis atau tokoh, menjadikan sesebuah buku terpakai itu bernilai lebih daripada buku baharu malah boleh dibida dengan harga tinggi.
“Saya pernah menyaksikan bidaan dalam laman sosial yang menyaksikan ada buku terpakai terjual pada harga RM2,500, manakala sebuah buku lagi dibida dalam acara lelongan fizikal pada harga RM6,000.
“Ada sebab kenapa orang sanggup membeli pada harga yang tinggi. Bagi sesetengah orang, harga bukan perkara utama, sebaliknya lebih kepada keinginan untuk melengkapkan koleksi peribadi.
“Mungkin judul berkenaan untuk melengkapkan siri sedia ada dalam koleksinya atau buku berkenaan sudah tidak dicetak lagi, atau ia mempunyai nilai koleksi cetakan terhad yang memiliki nombor keluaran khusus,” katanya.
Kongsinya lagi, selalunya buku terpakai yang dicari pembeli adalah dalam kategori Malaysiana, iaitu
hal-hal berkaitan sejarah tempatan, bangunan, ketenteraan, pendidikan, sastera juga budaya. Selain itu komik, majalah kartun dan novel-novel popular turut menjadi pilihan.
Katanya, sebagai penjual buku terpakai biasanya dia memperoleh stok dari perpustakaan yang melupuskan koleksi, institusi, orang perseorangan juga penghimpun yang ingin melepaskan himpunan mereka.
Zaifulnizam berkata, kaedah pemasaran hari ini membolehkan dia mencapai lebih ramai pembeli. Selain memiliki kedai buku fizikal, selama 15 tahun berdagang buku terpakai, dia selesa untuk berniaga dalam talian misalnya menerusi forum-forum internet juga dalam laman dagang seperti Shopee dan eBay di peringkat antarabangsa.
Selain itu, sesekali beliau turut berdagang buku di pelbagai acara sastera, seni, pameran selain pasar vintaj.
“Selain itu, saya mengasaskan sebuah gerakan pelestarian buku yang dikenali sebagai Pasar Buku Malaysia, yang menggunakan Facebook sebagai pusat gerakan. Pasar Buku Malaysia ini bertujuan untuk mengembalikan buku-buku sumbangan orang perseorangan, perpustakaan dan institusi kepada masyarakat melalui pasar percuma (freemarket), rak komuniti, sudut menunggu, perpustakaan mini, program tukar buku dan lain-lain.
“Ia adalah cara kami untuk memastikan masyarakat kita sentiasa dekat dengan buku apatah lagi sesetengah daripada judul diberikan secara percuma,” katanya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi, Pertubuhan Kota Buku Bangi, Che Mohammad Dollah, berkata buku terpakai masih mempunyai pembeli.
Katanya, sama ada naskhah fiksyen atau bukan fiksyen, masih ramai yang mencari judul-judul tertentu selain buku kanak-kanak.
“Walaupun kefahaman kita buku terpakai ini akan susut nilai, tapi ada judul yang akan meningkat permintaannya jika ia sudah tidak ada lagi dalam pasaran.
“Keadaan ini akan menyebabkan harganya meningkat hingga dua atau tiga kali ganda daripada harga asal,” katanya yang sudah terbabit dalam penjualan buku terpakai sejak tujuh tahun lalu.
Che Mohammad berkata, buku-buku tulisan penjajah yang pernah menetap di negara ini juga menarik perhatian umum.
Antaranya naskhah tulisan Frank Swettenham dan lain-lain penulis yang merekodkan sejarah, budaya dan keadaan semasa tempoh penjajahan. Buku sebegitu katanya dicari oleh ramai penghimpun menyebabkan harganya melonjak.
“Tahun terbitan juga memainkan peranan, misalnya sebelum tahun 1900. Namun bukan semua buku-buku terbitan 1900-an bernilai tinggi, ia masih bergantung kepada siapa penulisnya.
“Selain prolifik, penulis yang menghasilkan buku itu mesti diakui pakar dalam bidangnya,” katanya.
Tambahnya lagi, ada juga buku-buku terbitan sekitar tahun 1990-an dan tahun 2000 ke atas yang tidak susut nilai sebaliknya meningkat berganda-ganda daripada harga asal, antaranya novel ‘Anugerah Pertama’ tulisan Ramlee Awang Murshid.
Katanya, novel itu mendapat permintaan tinggi kerana ia hanya dicetak sekali sahaja.
“Walaupun penulisnya masih hidup, namun buku itu tidak dapat dicetak oleh penerbit lain kerana syarikat penerbitan asal yang memegang hak cipta ke atas buku itu sudah ditutup.
” Ini bermakna susut nilai harga sesebuah buku bergantung kepada permintaan pembeli dan kesukaran mendapatkan di pasaran,” katanya.
Che Mohammad berkata, buku terpakai memiliki segmen pemasaran tersendiri. Berdasarkan pengalaman peribadinya yang bermula dengan hanya menjual buku terpakai di laman sosial, Facebook, hari ini dia melangkah lebih serius apabila membuka kedai buku fizikal dinamakan GMS Buku Enterprise.
-BeritaHarian