KUALA LUMPUR: Malaysian Vapers Alliance (MVA), kumpulan advokasi pengguna vape tempatan, telah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan untuk mengawal selia industri vape tetapi tanpa dasar Generasi Penamat (GEG), selepas berinteraksi dengan kira-kira 5,000 pengguna vape dewasa.
Kenyataan ini adalah berikutan jelajah MVA di lapangan, yang menyaksikan kumpulan ini mengembara ke seluruh Malaysia untuk mengumpul data mengenai tingkah laku dan corak penggunaan pengguna vape Malaysia.
Dalam masa yang sama, MVA juga menjalankan tinjauan dan berjaya mendapatkan 708 responden.
Presiden Malaysian Vapers Alliance, Khairil Azizi Khairuddin, berkata: “Berdasarkan maklum balas yang kami terima, adalah jelas bahawa pengguna vape Malaysia mahukan peraturan, tetapi bimbang dasar GEG akan berisiko mengakibatkan kesan negatif jangka panjang.”
Katanya, kenyataan itu dikuatkan lagi dengan hasil tinjauan kami yang mendedahkan bahawa 96.6 peratus responden tidak bersetuju dengan GEG.
Seterusnya, 84 peratus daripada mereka yang ditinjau berkata mereka menyokong peraturan vape yang berbeza daripada rokok, dengan 75.8 peratus mengatakan mereka memahami konsep pengurangan kemudaratan tembakau (THR).
“Ini adalah penemuan penting kerana ia membuktikan potensi besar yang dimiliki vape untuk membantu perokok berhenti merokok dengan menukar kepada produk yang kurang memudaratkan.
Oleh itu, menyamakan kedua-dua produk itu, seperti yang dilakukan oleh GEG, akan menghalang perokok daripada beralih kepada vape dan menyebabkan ramai untuk terus merokok.
Untuk memastikan keselamatan pengguna dan menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab, peraturan mesti disesuaikan untuk mengiktiraf faedah pengurangan kemudaratan vape jika dibandingkan dengan merokok.
Penemuan lain daripada tinjauan adalah termasuk:
•73.7% vaper adalah bekas perokok, dengan 80.1% bertukar kepada vape kerana ia membantu mereka berhenti merokok
•85.8% percaya perokok harus dididik tentang pengurangan kemudaratan tembakau
•47.8% pengguna vape lebih gemar open system atau close system, 26.4% lebih gemar disposable, 25.8% mengunakan kedua-duanya.
•Pengguna vape yang membeli disposable lebih gemar produk dengan lebih daripada 10ml e-cecair (lebih daripada 5,000 puff) (29.9%) dan antara 2 – 4 ml e-cecair (600 – 1,200 hisapan) (38.2%)
•Pengguna vape menggunakan e-cecair berasaskan nikotin (76.1%) dengan paras nikotin sehingga 40mg setiap ml (96.1%)
•53% lebih suka e-cecair berperisa buah.
“Penemuan yang sangat membimbangkan adalah 66.9 peratus pengguna vape akan beralih kepada produk tidak terkawal jika peraturan tidak selaras dengan tabiat penggunaan mereka. Ini bermakna peraturan bukan sahaja mestilah menyeluruh, tetapi juga perlu selari dengan tingkah laku pengguna.
“Contohnya, inovasi baharu seperti vape disposable, mesti disertakan dalam senarai apabila peraturan diperkenalkan kelak. Tahap nikotin dan ketersediaan perisa juga mesti sejajar dengan penggunaan pengguna,” tambah Khairil.
Di samping mengkaji lebih lanjut tentang corak penggunaan pengguna vape, jelajah MVA ini juga berusaha untuk membetulkan segala tanggapan salah mengenai vape.
Jelajah selama lima minggu itu dilaksanakan di lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
Laporan penuh tinjauan boleh dilihat di laman web MVA.
– BH