Majlis Ekonomi Digital bantu selaraskan agensi dan kementerian – Mustapa Mohamed

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Majlis Ekonomi Digital di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) dibentuk untuk menyelaras dasar berkaitan ekonomi digital yang membabitkan pelbagai kementerian dan agensi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata adalah wajar bagi EPU sebagai agensi persekutuan yang bertanggungjawab dalam merancang pembangunan ekonomi Malaysia untuk jangka sederhana dan panjang, membuat serta membentangkan kajian mengenai ekonomi digital negara bagi memudahkan penyelarasan itu.

-Advertisement-

“Sebelum ini, banyak jawatankuasa telah dibentuk jadi sekarang hanya ada satu majlis kerana pendigitalan merentasi banyak sektor dan bidang. 

“Majlis ini merangkumi enam kluster seperti bakat digital, infrastruktur digital, teknologi baharu, ekonomi halal, komuniti dan kerajaan,” katanya pada ‘Bicara Naratif’ TV1 malam ini, yang bertajuk “Digital Asas Ekonomi Masa Depan”.

Majlis Ekonomi Digital yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyaksikan pelancaran ‘MyDigital-Blueprint Digital Economy Malaysia’ pada Jumaat ini.

-Advertisement-

Sementara itu, Mustapa berkata setiap kluster dalam majlis tersebut akan dipengerusikan oleh menteri berkaitan, dengan objektif tertentu bagi memastikan kerajaan dapat mencapai hasratnya untuk menyediakan infrastruktur serta akses internet kepada rakyat Malaysia.

Antara sasaran yang ditetapkan dalam rangka tindakan itu adalah akses kepada pembelajaran dalam talian untuk setiap pelajar; meningkatkan celik digital rakyat termasuk penggunaan digital bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana.

Inisiatif yang akan diperkenalkan itu didasarkan kepada asas sedia ada tetapi dengan penekanan baharu.

“Rangka kerja ini akan mempunyai tiga fasa iaitu pendek, sederhana dan panjang (10 tahun). Butiran lanjut bagaimanapun akan diketahui Jumaat ini,” katanya lagi.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427