MAIS serah sumbangan RM2.02 juta bantu asnaf riqab

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM2.02 juta kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA) melalui Geran Sukuan Pertama 2021 bagi membantu golongan asnaf riqab, semalam.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon, berkata sumbangan itu menggunakan peruntukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan disalurkan kepada 27 RPA bawah seliaan MAIS di sekitar Selangor.

“Sumbangan ini dibayar setiap tiga bulan sekali. Hari ini (semalam), kita menyerahkan sumbangan RM2.02 juta untuk suku tahun pertama.

“Setiap rumah terbabit menerima bantuan mengikut jumlah penghuni kerana keperluan setiap asnaf riqab berbeza, contohnya mereka menghidap penyakit tertentu dan memerlukan rawatan khas.

“Kadar ditetapkan ialah RM750 seorang tetapi jika membabitkan makanan serta rawatan khas seperti HIV, penghuni memperoleh RM1,250 dan bantuan ini dibayar kepada pihak yang menguruskan rumah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Riqab MAIS 2021 di Laman Kayangan, Seksyen 7, di sini, malam tadi yang turut hadir, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, sumbangan terbabit bertujuan menolong mereka yang memerlukan bantuan meliputi aspek pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan.

“Melalui bantuan ini, golongan riqab mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan dilaksanakan MAIS dengan dibantu badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar. Ia bertujuan mendidik dan membimbing mereka menjadi umat Islam yang diredai,” katanya.

-Advertisement-

Beliau menjelaskan, walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 , program pemulihan golongan berkenaan tidak pernah terhenti.

“Program diteruskan seperti biasa. Sebagai contoh, kuliah masih diadakan secara dalam talian, aktiviti dan program juga dilaksanakan, malah kehidupan mereka diselia sepanjang masa agar tidak berlaku kerumitan.

“Bantuan Ramadan dan Hari Raya turut diberi supaya mereka dapat meraikannya dengan sempurna seperti insan lain di luar sana.

“Mereka perlu disantuni kerana ada dalam kalangan mereka yang diabaikan keluarga. MAIS bertanggungjawab memastikan mereka pulih dan kembali ke jalan Islam yang sebenar,” katanya.

Selain itu, Ahmad Shahir berkata, MAIS memberi bantuan untuk keperluan seperti sewa rumah agar mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal lebih baik untuk istiqamah dengan cara hidup bersyariat.

“MAIS turut menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada individu menjaga asnaf riqab bagi menggalakkan mereka menghadiri kelas bimbingan dianjurkan oleh MAIS.

“Di samping itu, MAIS menyalurkan bantuan lain seperti modal perniagaan dan perubatan untuk meringankan beban hidup,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427