Mahkamah Rayuan kekal hukuman mati penganggur bunuh tiga ahli keluarga angkat

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang penganggur kerana membunuh tiga anggota keluarga angkatnya enam tahun lalu.

-Advertisement-

Panel tiga hakim terdiri Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah turut mengesahkan hukuman penjara 10 tahun, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Luqman Hadi Mustapa kerana cubaan membunuh dua adik-beradik.

Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, bebanan terletak pada Luqman untuk membuktikan pembelaannya atas kesalahan undang-undang mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan atas imbangan kebarangkalian.

Seksyen 84 menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang, yang pada masa melakukannya, tidak berfikiran waras, tidak dapat mengetahui sifat perbuatan itu atau dia melakukan apa yang salah atau bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata, hakim perbicaraan yang perlu memutuskan sama ada pembelaan kehilangan akal dari segi undang-undang terbukti atau tidak berdasarkan fakta kes sambil menambah bahawa mahkamah mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila menolak pembelaan hilang akal dalam kes itu dan ia telah disokong oleh undang-undang.

Orang yang dituduh perlu menunjukkan ketaksiuman dari segi perubatan dan undang-undang untuk mengaku sebagai tidak waras.

Hakim itu berkata, sabitan Luqman bagi kesalahan itu adalah selamat dan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak.

Luqman, 33, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 16 Ogos 2019, yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh Mariah Baharim, 61, yang juga kakak ibu angkatnya, Hassan A Wahab, 70, (suami Mariah) dan anak lelaki mereka, Muhammad Taufeq Hassan, 22.

-Advertisement-

Mahkamah Tinggi juga mendapati, Luqman bersalah atas dua pertuduhan cuba membunuh anak perempuan Mariah, Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24 dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, serentak, bagi setiap dua pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Sidang Said di Bertam Malim, Melaka antara jam 5.50 pagi dan 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin (kini hakim Mahkamah Rayuan) berkata, tindakan Luqman tidak konsisten dengan individu yang tidak waras, memandangkan fakta bahawa neneknya tidak cedera dalam kejadian itu dan Luqman terlebih dulu menyerang lelaki sebelum menyerang saudara perempuannya.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, seramai 25 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan. Apabila mahkamah mengarahkan Luqman membela diri, dia memilih untuk berdiam diri.

Timbalan Pengarah Hospital Permai di Johor dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan untuk mengemukakan laporan oleh pakar psikiatri yang memeriksa Luqman kerana pakar psikiatri itu meninggal dunia.

Luqman ada satu lagi peluang untuk merayu iaitu ke Mahkamah Persekutuan.

Luqman diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, Mohd Fahmy Sulaiman dan Azalea Nazihah Zulkifli, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427