PUTRAJAYA: Rumah Bonda hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Rayuan, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan lak (sita) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu dua tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan rumah kebajikan berkenaan.
Rumah Bonda atau atau nama rasminya Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 November 2021 yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung tindakan lak itu.
Rumah Bonda yang memfailkan permohonan itu menerusi pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali, antara lain mendakwa Tindakan Notis Lak dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap remaja berumur 13 tahun dikenali sebagai Bella di premis berkenaan.
Kamaludin dalam keputusannya, berkata panel sebulat suara bersetuju ada merit dalam rayuan Rumah Bonda dan semakan kehakiman berkenaan perlu dibicarakan secara substantif di Mahkamah Tinggi.
“Dengan ini, kebenaran diberikan kepada perayu (untuk memulakan prosiding semakan kehakiman) dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos ini.
Dalam prosiding yang dijalankan secara sidang video itu, peguam, Asiah Abd Jalil, mewakili Rumah Bonda selaku perayu, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir, bertindak bagi pihak Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Panel berkenaan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Melalui permohonan difailkan pada 13 Ogos 2021 itu, Rumah Bonda mendakwa, kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan terbabit, sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.
Menurut rumah kebajikan itu, remaja terbabit sebaliknya anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021 kepada Siti Bainun atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Terdahulu, Asiah berhujah bahawa Rumah Bonda didaftarkan sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh kedua-dua responden sudah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, Jabatan Bomba sudah meluluskan premis itu dan Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan, bagaimanapun pandemik COVID-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan.
Katanya, premis berkenaan kemudiannya disita dan tindakan lak dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 2001.
Sementara itu, Nur Idayu pula berhujah, bahawa dakwaan kes itu membabitkan kepentingan awam adalah tidak benar kerana tindakan lak dilakukan selepas rumah berkenaan tidak berdaftar dengan JKM Wilayah Perseketuan dan beroperasi secara haram.
Katanya, walaupun dalam proses pendaftaran ia tetap dikira tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, bagaimanapun lak dibuka selepas Rumah Bonda membayar kompaun.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun dipenjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
– BH