KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi kelmarin mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibayar lebih RM5 juta susulan saman ke atas doktor di sebuah hospital awam yang didakwa cuai sehingga mengakibatkan mangsa lumpuh.
Kanak-kanak itu, Nur Adeena Mohd Syahmir, yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah.
Hakim Datuk Akhtar Tahir, berkata mahkamah mempertimbangkan keterangan doktor pakar bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun berdasarkan keadaannya dan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan mencukupi sepanjang hayatnya.
“Tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu. Oleh itu, mahkamah hanya boleh memberikan jumlah mencerminkan kerugian dialami serta jumlah itu tidak boleh terlalu tinggi sebaliknya munasabah.
“Mahkamah juga berpandangan jumlah ganti rugi diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga plaintif (kanak-kanak itu),” katanya.
Sebelum ini, hospital berkenaan menjalankan siasatan dalaman berhubung komplikasi terbabit selepas kelahiran kanak-kanak itu.
Siasatan mendapati pegawai perubatan bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.
Kanak-kanak itu melalui bapanya, kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan dan doktor terbabit dengan mendakwa mereka cuai serta gagal bertindak demi kepentingan mangsa.
Akhtar berkata, mahkamah berpendirian pihaknya tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk rawatan atau cara rawatan.
Katanya, tempat dan cara rawatan mesti ditentukan oleh penjaga dan dalam kes itu adalah ibu bapa.
“Ibu bapa tidak boleh dibelenggu dengan beban memilih rawatan yang lebih murah berbanding rawatan yang lebih baik dan tepat pada masanya.
“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah kemudahan kerajaan yang percuma atau murah.
“Ini mungkin benar, tetapi faktor lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan apakah rawatan terbaik. Yang terbaik mungkin bukan yang termurah,” katanya.
– BH