Luqman gigih perbaiki kelemahan demi emas

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Pesilat negara, Luqman Laji mahu menggunakan sebaik mungkin peluang bersaing pada Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia 2019 bagi memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi saingan lebih getir di Sukan SEA Filipina, November depan.

-Advertisement-

Pesilat kelahiran Sabah itu mengakui kejohanan kebangsaan tersebut yang kini berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, penting bagi memantapkan prestasi selain dapat memberinya peluang memantau bakal pesaingnya pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu nanti.

Justeru, beliau turut berazam untuk mengumpul seberapa banyak pengalaman pada kejuaraan tersebut sebagai persediaan kepada penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan itu.

“Untuk meraih kilauan emas di Filipina, perlu mendapat pendedahan secukupnya untuk membantu membina keyakinan diri,” ketika ditemui pemberita di Stadium Titiwangsa di sini,hari ini.

Luqman berkata kejuaraan kebangsaan itu sangat membantu dari segi pendedahan kerana beliau sangat kurang beraksi di pentas kejohanan sebelum Sukan SEA.

-Advertisement-

“Di sana (Sukan SEA) suasananya pasti lebih tegang… jadi sekurang-kurangnya kejuaraan ini saya dapat merasai sedikit bahang Sukan SEA dan dapat meningkatkan motivasi untuk merangkul pingat emas,” katanya.

Dalam saringan awal acara Seni kategori Tunggal Putra pada saingan Terbuka Malaysia itu yang bermula hari ini, Luqman mengetuai tiga pesilat memperoleh mata tertinggi untuk ke pusingan akhir selepas mengumpul 458 mata untuk mengatasi pesilat Singapura Muhammad Iqbal Abdul Rahman (449) dan pesilat Sarawak Mohamad Firdaus Rahmat yang meraih 447 mata.

Sementara itu, pesilat Tunggal Putri negara, Nur Syafiqah Hamzah meraih mata tertinggi dengan 455 mata, manakala pesilat Selangor, Norshahirah Ratius (448) serta pesilat Terengganu, Tengku Nur Nazihah Tengku Abu Bakar (444) masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga untuk mara ke final.

Kejuaraan bertaraf antarabangsa anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu melibatkan 400 peserta dari tujuh negara dan 14 pasukan negeri.

Saingan itu sebagai persediaan akhir bagi skuad negara yang akan berentap pada Sukan SEA Filipina 2019 dan Kejuaraan Silat Dunia 2020 yang menyaksikan Malaysia dipilih selaku tuan rumah.- Bernama


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427