ALOR GAJAH: Sebuah premis dipercayai menjalankan aktiviti perjudian di Taman Seri Pelangi, di sini, bagaikan ‘kebal’ apabila meneruskan perniagaan haram itu biarpun sudah empat kali diserbu pihak berkuasa dan dipotong bekalan elektrik.
Rumah kedai dilengkapi tiga kamera litar tertutup (CCTV) itu antara sembilan premis diserbu sekali lagi dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), semalam.
Timbalan Ketua Polis Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed, berkata beberapa premis didapati membuat penyambungan haram menggunakan alat Insulation Piercing Connector (IPC) untuk menggantikan kabel TNB dan meneruskan kegiatan mereka.
Menurutnya, dalam pemeriksaan bermula jam 10 pagi itu, TNB turut memotong elektrik di sebuah premis di Taman Sebang Mutiara yang sebelum ini dikenakan tindakan sama sebanyak dua kali kerana menjual loteri awam tanpa lesen.
“Kebanyakan premis perjudian yang diserbu berselindung di sebalik perniagaan seperti kedai runcit dan kedai telekomunikasi, premis ditutup seolah-olah tidak beroperasi.
“Pemilik dikesan antara lain menyediakan lubang kecil di bahagian tengah pintu dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa serta memudahkan kaki judi berurusan termasuk membeli tambah nilai judi.
“Premis ini juga tidak mempunyai sebarang papan tanda perniagaan serta dipasang CCTV bagi memantau kehadiran pihak berkuasa,” katanya.
Seramai lima anggota, masing-masing daripada Polis Diraja Malaysia, (PDRM), TNB dan MPAG terbabit dalam operasi berkenaan, yang bertumpu di Taman Dimensi, Jalan Melaka Batu 11; Taman Lendu Bakti dan Taman Melaka Perdana.
Azrul berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini, 134 serbuan dilakukan dan berjaya menahan 161 individu disyaki terbabit aktiviti perjudian, manakala 28 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik bagi tempoh sama termasuk sembilan pada semalam.
“PDRM bersungguh-sungguh dalam menangani serta menghapuskan aktiviti judi daripada terus bertapak di Alor Gajah. Operasi akan diterus dan dipergiat dari semasa ke semasa,” ujarnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
-BeritaHarian