Masyarakat di negara ini sudah terbiasa dengan istilah banjir monsun atau musiman yang kerap melanda negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Malah, kita juga tidak janggal dengan istilah banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar disebabkan menerima hujan lebat dalam masa singkat di samping disumbang sistem saliran sering ‘bermasalah.’
Terkini, istilah debris flood atau banjir puing juga menjadi tidak lagi asing kerana kerap melanda kawasan tanah tinggi hingga menjadi ancaman apatah lagi kawasan tidak pernah banjir turut dinaiki air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. Cuaca dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut aktif pada tempoh berkenaan berisiko tinggi menyebabkan berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.
Malah, fenomena La Nina masih berterusan hingga awal tahun depan dijangka turut menyebabkan peningkatan taburan hujan berpotensi menyumbang kepada bencana banjir.
Apabila banjir dikaitkan fenomena hujan lebat, ia bukan kebetulan, sebaliknya semua ini antara kesan perubahan iklim kian ekstrem.
Natijahnya, langkah mitigasi banjir perlu bermula dengan kesedaran terhadap perubahan iklim kian ekstrem berserta langkah konkrit mitigasinya dikaitkan sebagai punca terbesar banjir.
Banjir besar 2021-2022 mencatatkan kerugian mencecah RM 6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan serta sektor pertanian.
Rentetan itu, pengurusan bencana seperti banjir memerlukan persediaan dan koordinasi antara agensi kerajaan. Sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua agensi berkaitan terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta wakil kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak membuat persediaan awal selengkapnya berdepan bencana banjir.
Tindakan proaktif ini diperlukan bagi memastikan setiap agensi kerajaan dipertanggungjawabkan mengurus bencana benar-benar faham tugas dan tanggungjawab masing-masing serta paling utama mengelak sikap ‘mencari salah siapa’ dalam menguruskan bencana itu.
Pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada setiap peringkat seharusnya mahir dan berperanan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 20. Pengalaman berhadapan sekian lama dengan bencana banjir seharusnya mampu ‘mematangkan’ pelbagai pihak dalam merangka strategi dan mengatur tindakan berkesan menghadapi bencana banjir.
Persediaan rapi membabitkan kesiapsiagaan dari segi pusat pemindahan banjir, bekalan makanan dan peralatan untuk perpindahan bagi mangsa banjir. Kementerian dan agensi turut disaran menetapkan 5 peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan serta pascabencana, pencegahan dan mitigasi risiko bencana.
Pertingkat stesen siren amaran awal banjir
Stesen siren amaran awal banjir dibunyikan secara automatik sebagai tanda amaran mengenai kebarangkalian berlaku banjir dan disusuli pengumuman atau pengaktifan suara mengenai paras bahaya air sungai harus dipertingkatkan di seluruh negara.
Tahap kesiapsiagaan tinggi inilah menyebabkan kadar kehilangan nyawa dalam sesuatu bencana adalah kecil. Perkara lain perlu diberi keutamaan adalah memastikan bilik gerakan bencana di setiap daerah terkesan dibuka pada kadar segera bagi menempatkan petugas atau sukarelawan dengan menyediakan ruang penyampaian maklumat kepada seluruh agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu koordinasi pergerakan sukarelawan dan agihan bantuan.
Peruntukan dana khas bencana perlu segera disalurkan kepada setiap daerah terkesan bagi membolehkan bantuan kepada rakyat terjejas diagih segera. Pakar juga perlu dilantik untuk mengkaji sistem perancangan bandar dan kampung serta saliran air bermasalah bagi mengelakkan bencana memberi impak teruk agar tidak berlaku seperti di Selangor dan Johor.
Ramai pakar bidang berkaitan di institut pengajian tinggi (IPT), pastinya mahu turut menyumbang kepakaran dimiliki bersama masyarakat. Integrasi dan sinergi antara kepakaran universiti dengan pihak berwajib mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat lebih baik.
Pemerkasaan komuniti perlu dipertingkat bagi mewujudkan masyarakat berdaya tahan terhadap bencana dan berperanan sebagai first responder dan bukan hanya bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata.
Masyarakat perlu didedahkan ilmu berkaitan pengurusan bencana seperti dilakukan di Jepun. Ini penting agar kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana melanda negara. Ini membabitkan pendekatan usaha menyeluruh masyarakat yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan pembabitan bersama agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Sebar maklumat perubahan cuaca
Pemerkasaan kapasiti komuniti setempat turut perlu dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder dengan komuniti terkesan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal berdepan bencana.
Maklumat perkembangan perubahan cuaca perlu disebar agar masyarakat lebih peka mengenai banjir. Ia diakui antara kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal serta arahan bersedia terutama kepada penduduk di kawasan rendah serta berisiko banjir seperti menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification dan khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi.
Ini kerana masih terdapat orang awam tidak cakna maklumat dipapar di laman web, media sosial dan aplikasi disediakan kementerian, agensi serta jabatan berkaitan.
Penghasilan visual simulasi banjir dan infografik perlu diberi perhatian kerana ia boleh disebar luas melalui media massa dan media sosial. Pemaparan video real time atau masa nyata berhubung situasi semasa paras air dan banjir di kawasan kejadian supaya orang ramai percaya bencana banjir memang berlaku juga alternatif baik.
Cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan subjek utama dalam menangani bencana pada pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti supaya seluruh masyarakat dapat mengadaptasi masalah banjir sebagai norma baharu juga perlu disegerakan.
Dapat disimpulkan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi aspek penting perlu diperkasa serta boleh dijadikan penanda aras dan diaplikasikan dalam tadbir urus bencana alam sekitar pada peringkat organisasi, negeri mahupun negara.
Hakikatnya pengurusan bencana adalah urusan semua pihak, maka aspek komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam adalah kunci perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam aspek pengurangan risiko bencana (DRR).
Jika agensi kerajaan dan masyarakat mempunyai ilmu dalam menguruskan bencana, kadar kematian serta kehilangan harta benda dalam sesuatu bencana dapat diminimumkan.
Penulis adalah Institut Pengajian Sains Sosial, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
-BH