Liverpool ada ‘hutang’ dengan Salah – Neville

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Gary Neville percaya Liverpool ‘berhutang’ dengan Mohamed Salah untuk kekal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila dia kembali daripada Piala Negara-Negara Afrika.

-Advertisement-

Bintang Mesir itu meninggalkan kelab penuh bergaya awal pagi semalam apabila dia meledak dua gol dan melakukan satu umpanan gol untuk mengemudi kemenangan 4-2 ke atas Newcastle di Anfield.

Gol Salah itu membolehkannya muncul pendahulu penjaring gol terbanyak bersama Erling Haaland manakala umpanan golnya menyamai pencapaian Ollie Watkins di puncak senarai itu.

Anak buah Jurgen Klopp melebarkan pendahuluan di puncak liga kepada tiga mata susulan kemenangan dominan itu tetapi kini mereka akan terlepas khidmat penyerang utama itu bagi beberapa perlawanan penting dalam beberapa minggu akan datang.

Pemain berusia 31 tahun itu mungkin terlepas lapan perlawanan jika The Pharaohs layak ke final di Ivory Coast dan Neville berpendapat The Reds mesti melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka masih dalam buruan kejuaraan sekembalinya nanti.

“Ramai pemain yang tinggal mereka perlu kembali ke tempoh peralihan seperti pada waktu awal di bawah Klopp dengan Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Luis Diaz,” katanya dalam podcast Gary Neville.

“Mereka belum betul-betul mantap. Mereka belum berada di kemuncak karier mereka yang mana mereka boleh membuat keputusan yang tepat.

-Advertisement-

“Mereka ada kepantasan tetapi juga mengecewakan apabila berada dalam kawasan lawan dan penyudahnya mungkin agak kurang berkesan.

“Anda tertanya-tanya bagaimana agaknya tanpa Salah tetapi mereka berhutang kepadanya untuk mengharungi bulan ini masih dalam perebutan kejuaraan, masih di puncak liga dan masih di depan jadi mereka boleh memberi peluang Salah kembali dan benar-benar berazam merebut kejuaraan.

“Saya tidak fikir Liverpool akan berada dalam perebutan kejuaraan dan saya masih tidak memikirkan mereka akan melakukannya. Saya meraguinya kerana tiga pemain itu (Gakpo, Nunez dan Diaz) tetapi Klopp seseorang yang berbeza sebagai pengurus.”

Bos Liverpool itu perlu membuat keputusan untuk memilih rangkaian serangannya dan siapa yang akan mengisi posisi Salah di sayap kanan.

Pengulas Sky Sports dan bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher memikirkan kemungkinan calon dan mengemukakan beberapa alternatif di bahagian tengah yang boleh mengisi kekosongan itu.

“Ramai penyerang Liverpool lebih padu dengan kaki kanan mereka jadi mereka kelihatan OK beraksi di sebelah kiri, (Diogo) Jota, Nunez, Gakpo,” katanya dalam rancangan Monday Night Football selepas perlawanan itu.

“Tetapi tiada siapa yang kelihatan seperti mempunyai keseimbangan yang betul bagi sebelah kanan.”
-AGENSI
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427