Les Bleus kurang menyinar ragbi 7s Olimpik

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Perancis menempah tiket ke pusingan kalah mati ragbi tujuh sebelah Sukan Olimpik awal pagi tadi tetapi gagal untuk memenuhi ramalan sebagai pasukan pilihan manakala penyandang juara Fiji mempamerkan kekuasaan mereka sekali lagi.

Les Bleus tampil pada pertandingan tujuh sebelah itu dengan rangsangan susulan kehadiran Antoine Dupont, dianggap ramai sebagai antara pemain terhebat dunia dalam ragbi 15s.

Namun mereka dikejutkan dengan keputusan seri 12-12 menentang Amerika Syarikat (AS) pada aksi pertama Kumpulan C diikuti dengan kemenangan getir 19-12 ke atas Uruguay.

Dalam perlawanan yang sengit, Perancis mendahului awal sebelum Uruguay menekan mereka, larian pantas Jefferson-Lee Joseph akhirnya memecah kebuntuan di depan 69,000 penonton.

Dupont menerima tepukan paling gemuruh pada malam yang mana dia melepasi benteng Uruguay dengan larian separuh padang untuk melakukan try.

“Jika kami tidak meningkatkan tahap kami, kami tidak akan pergi jauh. Kami sedar kami mampu bertindak lebih baik lagi,” kata Dupont selepas perlawanan itu.

“Kami tidak meletakkan diri kami di tempat yang baik sekali lagi. Kami bergelut untuk melaksanakan pelan perlawanan kami, untuk menguasai bola.”

Fiji menang kedua-dua pingat emas Olimpik sejak ragbi diperkenalkan pada temasya Rio 2016 tetapi akhir-akhir ini mengalami kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun, juara mutlak ragbi 7s itu mengalami kebangkitan di bawah kendalian jurulatih baharu Osea Kolinisau dan ia terserlah apabila mereka membenam Uruguay 40-12.

Mereka bertindak lebih bergaya pada perlawanan kedua, mengalahkan AS dengan corak permainan memukau dan kepantasan untuk menang 38-12.

Fiji akan berdepan Perancis pada pertembungan yang dinanti-nanti awal pagi esok bagi menentukan juara kumpulan.

-AFP

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464