KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan kerana disyaki membuat ugutan kepada pelawak popular, Harith Iskander dan keluarga baru-baru ini, disambung reman hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata lelaki berusia 31 tahun terbabit direman tiga hari lagi bagi melengkapkan siasatan.
“Suspek sudah disambung reman sehingga 31 Januari (Jumaat).
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro terdahulu melaporkan, polis menahan suspek lelaki yang disyaki membuat ugutan kepada Harith Iskander dan keluarganya.
Razarudin dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan selepas pengurus pelawak terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi jam 7.31 malam, 23 Januari lalu.
Beliau dipetik berkata, dalam kejadian pertama, mangsa dihubungi suspek jam 11.21 pagi pada 21 Januari lalu ketika berada di hadapan Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India.
Dalam kejadian kedua jam 3 petang pada 23 Januari, pengurus yang berada di sebuah restoran nasi lemak di Jalan Bunus 6 menerima mesej gambar pegun anaknya mengandungi mesej berbaur ugutan.
Berikutan ugutan itu, Harith dilaporkan membatalkan persembahan komedi berdiri DFP Punchline: Harith Iskander 35 Year of Laughter yang sepatutnya berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, yang dijadualkan pada 25 Januari.
-BeritaHarian