KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Perancis maut selepas tergelincir ketika mendaki Bukit Tabur, Taman Melawati, Ampang Jaya dekat sini, petang semalam.
Mangsa berusia 29 tahun dikatakan ke Bukit Tabur bersama teman wanitanya dari rumah seorang rakan mereka di Taman Maluri, Cheras dengan menaiki sebuah kenderaan e-hailing kira-kira jam 1.30 petang dan sampai di situ sejam kemudian.
Kedua-duanya kemudian memulakan pendakian dari kaki Bukit Tabur West kira-kira jam 2.30 petang, bagaimanapun mangsa dipercayai tergelincir kira-kira selepas sejam mereka mendaki bukit itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata polis mendapat makluman kejadian itu daripada pasukan bomba, jam 4 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Seramai 68 orang terdiri daripada pasukan bomba dan polis dibantu Jabatan Perhutanan serta badan bukan kerajaan (NGO) Bencana Rescue Malaysia digerakkan untuk operasi dan menyelamat.
“Pasukan penyelamat kemudian menemui mangsa dalam keadaan kepalanya mengalami pendarahan teruk dan selepas berjaya dibawa turun, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat.
“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan ia diklaksifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.25 petang sebelum menggerakkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Jaya dan BBP Wangsa Maju untuk operasi menyelamat.
“Mangsa, Martin Simon Nathan ditemui pada jam 6.45 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan operasi membawa turun mangsa mengalami sedikit kesukaran susulan laluan curam dan keadaan gelap.
“Bagaimanapun, mangsa akhirnya berjaya dibawa turun pada jam 10.35 malam dan anggota perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya. – Berita Harian