Lelaki kurang siuman bersenjatakan pisau ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai kurang siuman kerana membuat kacau dan bertindak agresif dengan bersenjatakan pisau di Jalan Bukit Bintang, di sini, petang tadi.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata lelaki itu mengacukan pisau kepada orang awam yang melalui jalan itu sebelum melarikan diri ke jejantas di Jalan Pudu bersebelahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebaik menyedari kehadiran polis.

“Lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an kemudian bertindak memanjat tiang papan tanda berdekatan sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang dan membuat provokasi di atas papan tanda.

-Advertisement-

“Ekoran itu, polis telah memohon bantuan pihak bomba dari Balai Hang Tuah untuk memujuk dan membawanya turun, namun lelaki itu sekali lagi bertindak ganas dengan menendang bahagian muka serta badan anggota bomba dan polis ketika proses itu,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Mohd Fahmi berkata lelaki itu berjaya ditahan pada jam lebih kurang 2.10 petang dan dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai di kawasan kejadian selain videonya tular di media sosial.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427