Lelaki 25 tahun mati di penjara, kematian dalam tahanan ke-12 tahun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditahan di Penjara Kajang dilaporkan meninggal dunia pada 21 Jun lalu, menjadikannya kematian dalam tahanan ke-12 tahun ini.

-Advertisement-

NGO Suaram, yang mengendalikan kes itu berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Roopan Karnagaran tidak mempunyai masalah kesihatan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan berkata, Roopan ditahan berhubung pembabitannya dalam pembunuhan tiga individu di rumah jirannya di Dengkil pada 2013, ketika itu dia berusia 17 tahun.

Polis berkata, DNA pemuda itu ditemui di tempat kejadian. Dia disabitkan bersalah empat tahun kemudian pada 2017 ketika berusia 21 tahun dan memfailkan rayuan terhadap sabitan itu dengan menegaskan dirinya tidak bersalah.

Roopan ditahan di penjara ketika menunggu rayuannya, yang ditetapkan pada 29 Jun ini, tetapi pada 17 Jun lalu, dia mengadu mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke Hospital Kajang.

-Advertisement-

Dia dirawat dan dibenarkan keluar hospital serta kembali ke penjara. Dia dilaporkan meninggal dunia pada 21 Jun, lapan hari sebelum rayuannya didengar.

Suaram mendakwa pihak berkausa penjara cuba menyembunyikan kematian itu, berdasarkan laporan polis mereka yang menyatakan Roopan tidak mati dalam penjara.

Keluarganya turut membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu.

Peguam keluarganya turut menyerahkan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan inkues atas kematiannya.

Peguam berkata, Jabatan Peguam Negara mengarahkan pegawainya memeriksa sama ada fail laporan kematian mengejut sudah dibuka untuk melihat jika inkues boleh diadakan.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427