PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 85,358 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 31,162 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya dalam tempoh suku keempat tahun lalu.
Justeru, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST4/2020 selama 14 hari mulai 27 Jan hingga 9 Feb 2021 di 910 tempat pameran RDPT ST4/2020 di seluruh negara.
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT ST4/2020 mengandungi 85,358 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 31,162 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang memohon dalam tempoh antara 1 Okt hingga 31 Dis 2020.
“Semakan RDPT ST4/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah termasuk hadir sendiri ke 910 tempat pameran RDPT ST4/2020 di seluruh negara dan mengimbas kod QR bagi bahagian pilihan raya Parlimen yang diletakkan.
“Orang ramai juga boleh melayari portal rasmi pejabat pilihan raya negeri atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST4/2020 disediakan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT ST4/2020.
Beliau berkata, sekiranya pemohon mendapati nama tidak disenaraikan dalam RDPT ST4/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.
“Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST4/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.
“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat pilihan raya negeri dan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah pilihan raya negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.
“Semasa tempoh pameran RDPT ST4/2020, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST4/2020 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03 88927018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri. “Pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan,” katanya.
-FMT