Lebih 60,000 penghantar p-hailing carum SKSPS PERKESO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sejumlah 64,773 pencarum aktif yang terdiri daripada rakan penghantar barangan (p-hailing) seperti Grab Malaysia dan Food Panda berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat 9 Julai lalu.

-Advertisement-

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jumlah itu merangkumi 39 peratus daripada jumlah orang bekerja sendiri (OBS) aktif yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu kira-kira 166,000 orang.

“Saya meminta semua platform penyedia perkhidmatan p-hailing untuk turut mengikut jejak langkah Grab Malaysia dan Food Panda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-62 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, platform penyedia perkhidmatan, Grab Malaysia dan Food Panda, sudah mendaftarkan hampir semua rakan penghantar mereka di bawah Skim Pekerjaan Sendiri Lindung (SPS Lindung) di bawah PERKESO.

Beliau berkata, skim itu adalah penambahbaikan kepada Program Dana Padanan Bagi Platform Ekonomi Gig (PenjanaGig) bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang yang bekerja sendiri di bawah SKSPS.

“Program antara PERKESO dan platform penyediaan penghantaran ini merupakan satu lagi pendekatan strategik dan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri termasuk rakan penghantar.

-Advertisement-

“Kerjasama ini mencerminkan semangat pendekatan “whole of nation” (keseluruhan negara) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Bagi memastikan golongan itu dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, beliau berkata, kerajaan melalui SPS Lindung menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman SKSPS di bawah pelan dua, iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun.

“Selaku peneraju kepada 133 platform penyedia perniagaan di Malaysia, Grab Malaysia dan Food Panda yang juga dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut dan hasilnya, rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pengekalan penarafan kredit Fitch Ratings pada BBB+ terhadap Malaysia baru-baru ini menjadi bukti ketahanan ekonomi negara berdepan dengan ketidakpastian keadaan semasa.

Ini juga, katanya, mencerminkan kemampuan negara untuk terus menawarkan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh dan meluas, di samping menjadi satu pengiktirafan kepada polisi dan usaha kerajaan yang berterusan.

“Fitch Ratings mengekalkan kredit berdaulat Malaysia dengan prospek stabil dalam indeks “issuer default rating” atau penarafan kelalaian penerbit yang menjadi kayu ukur kepada keteguhan kredit negara-negara berdaulat di dunia.

“Secara ringkasnya, ini adalah seumpama penarafan kredit individu, cuma sistem penarafan ini berlaku pada skala yang lebih besar serta kompleks dan membabitkan sektor utama sebuah negara seperti sektor ekonomi, kewangan dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA – BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427