KUALA LUMPUR: Lebih 500 atlet triathlon terbaik tempatan dan antarabangsa bakal berhimpun di Lotus Desaru Beach Resort, Johor pada 23 Julai ini bagi bersaing dalam kejohanan NX113 Triathlon Desaru.
NX113 Triathlon Desaru turut dianugerahkan hak mengelolakan Kejohanan Triathlon Kebangsaan bersempena dengan pertandingan itu oleh Malaysia Triathlon, selaku badan induk bagi sukan multi disiplin negara.
Namun, daripada tiga kategori yang dipertandingkan, hanya acara pecut (Sprint) yang menggabungkan renangan 750m, berbasikal 20km dan larian 5km, akan menobatkan Raja dan Ratu Triathlon Kebangsaan.
Dua lagi kategori adalah 113 Triathlon (renangan 2km-berbasikal 90km-larian 21km) dan Super Sprint (renangan 300m-berbasikal 10km-larian 2km).
Pengarah perlumbaan, Andy Foo berkata pihaknya bangga diberi penghormatan oleh MTA untuk menjadikan saingan ‘Sprint’ selaku Kejohanan Kebangsaan.
“Kami amat berbesar hati dan kepercayaan ini akan kami balas dengan menganjurkan satu perlumbaan yang bermutu dan memberi nilai tambah buat kesemua peserta kami, terutamanya yang dari tempatan kerana mereka berpeluang untuk merebut gelaran atlet triathlon nombor satu Malaysia.
“Menerusi saingan sengit seperti inilah barisan atlet sedia ada ini akan berlatih bersungguh-sungguh dan memperbaiki pencapaian diri dari masa ke semasa.
“Justeru, kami berharap akan dapat memainkan peranan dalam membentuk sekumpulan jaguh kebangsaan yang mampu mencabar pingat pada temasya sukan dan kejohanan antarabangsa yang lebih besar kelak,” kata Andy.
Atlet-atlet elit luar negara mempunyai motivasi tambahan untuk melakar pencapaian cemerlang kerana mata ranking dunia turut menjadi rebutan di NX113 Triathlon Desaru.
“Kami telah menerima pendaftaran dari negara-negara ASEAN seperti Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia, sekali gus merancakkan lagi perlumbaan kali ini.
“Acara ini adalah satu-satunya di mana atlet berkesempatan untuk meraih mata untuk ranking dunia World Triathlon,” kata Andy.
– BH