KUALA LUMPUR: Sebanyak 50.2 peratus atau 11,743,096 daripada keseluruhan populasi dewasa negara ini, setakat semalam sudah melengkapkan dos vaksin COVID-19 masing-masing.
Selain itu, seramai 17,625,760 yang mewakili 75.3 peratus populasi dewasa di negara ini direkodkan menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian itu.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) berkata, pemberian 531,114 dos vaksin berjaya diselesaikan semalam, membabitkan 188,474 dos pertama, manakala 342,640 adalah dos kedua pelalian itu.
Ia menjadikan kumulatif pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara ini, meningkat kepada 29,368,856 dos sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sejak 24 Februari lalu.
Malaysia kini berada dalam Fasa Tiga PICK yang dijangka selesai pada Mei tahun depan, membabitkan pemberian vaksin kepada 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas serta kalangan warga asing yang berada di negara ini.
Perincian pemberian pelalian itu menyaksikan Labuan kekal di tangga teratas apabila seramai 61,635 orang atau 90 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksin, manakala 68,174 atau 99.5 peratus sudah menerima dos pertama.
Ia disusuli Sarawak yang merekodkan seramai 1,685,994 orang atau 82.5 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi, manakala 1,826,000 penduduknya atau 89.4 peratus menerima dos pertama vaksin COVID-19.
Lembah Klang pula negeri ketiga tertinggi pemberian vaksin apabila seramai 4,546,662 populasi dewasa atau 73.8 peratus sudah menerima dos lengkap.
Bagi yang menerima dos pertama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu ia mencatatkan seramai 6,553,311 orang.
Ia diikuti Negeri Sembilan yang kini merekodkan 550,315 orang menerima dos lengkap (67.6 peratus); Perlis (105,294 orang atau 58.1 peratus); Melaka (286,381 atau 42.3 peratus) dan Pulau Pinang (554,315 individu atau 40.5 peratus.
Terengganu pula merekodkan seramai 310,751 orang atau 38.4 peratus penduduknya sudah menerima kedua-dua dos, diikuti Perak (702,544 orang atau 37.7 peratus); Pahang (432,969 orang atau 36.8 peratus); Kedah (522,112 orang atau 33.9 peratus); Kelantan (402,784 orang atau 32.6 peratus dan Johor (870,777 orang atau 32.1 peratus).
Sementara itu Sabah masih berada di bawah 30 peratus yang menerima vaksinasi lengkap dengan negeri itu mencatatkan 710,563 orang atau 25.8 peratus.
-BH