Lebih 4,600 majikan sokong PIKAS

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Usaha kerajaan mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan sektor pembuatan dan perkilangan terus mendapat perhatian majikan apabila lebih 4,600 syarikat di seluruh negara, tampil memohon menyertai Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

-Advertisement-

Jumlah permohonan bagi program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Kementerian Kesihatan itu setakat ini membabitkan pendaftaran seramai 676,544 pekerja.

Setakat 1 Julai lalu, seramai 26,493 pekerja, termasuk hampir 6,000 pekerja industri sekitar bandar raya Johor Bahru turut menerima dos pertama masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan PIKAS berkata, pelaksanaannya yang memfokuskan pemberian vaksin kepada pekerja kilang dapat membantu kerajaan menurunkan jumlah kes harian COVID-19 dengan lebih pantas, sekali gus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi keluar daripada pandemik.

“Vaksinasi pekerja sektor kilang dan pembuatan adalah penting berikutan ia adalah antara subsektor ekonomi yang penting dan berperanan dalam memulihkan ekonomi negara,” kata Muhyiddin.

Bagi memperkasa PIKAS, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan RM150 juta diperuntukkan bagi program itu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Justeru itu, PIKAS diyakini dapat menjadi tulang belakang kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya memastikan pemulihan ekonomi berjalan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Fasa Pertama PPN.

-Advertisement-

Sementara itu, juruteknik kilang semikonduktor, Mohd Affendie Sulaiman, 36, melihat PIKAS sebagai instrumen penting memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja sektor pembuatan.

“PIKAS memastikan petugas kilang yang dikategorikan penting, dilindungi daripada COVID-19, sekali gus mengawal penularan wabak di tempat kerja dan memastikan kelancaran PPN.

“Program ini juga memastikan kilang tempat saya bekerja bebas ancaman COVID-19 kerana kami membekalkan cip untuk peralatan perubatan seperti ventilator, telefon dan komputer yang menjadi antara barangan penting dalam tempoh sekatan pergerakan,” katanya.

Jurutera kilang, Izzat Safwan Indra, 28, berpandangan PIKAS akan membantu imuniti kelompok dicapai dalam kilang yang menyertai program itu, sekali gus memastikan tiada lagi isu penularan jangkitan membabitkan sektor berkenaan.

“PIKAS adalah penyelesaian yang perlu menjadi keutamaan untuk sektor pembuatan, malah wajar dilaksanakan secepat mungkin dan membabitkan sebanyak mungkin syarikat,” katanya yang menerima dos pertama di kilangnya pada 19 Jun lalu.

Operator pengeluaran, Marwizam Merbawi, 45, berasa lebih selamat selepas menerima suntikan vaksin Sinovac pada 18 Jun lalu dan gembira majikannya antara terpilih menjadi kilang pertama dalam pelaksanaan PIKAS.

“Kilang seperti kami sama penting seperti petugas barisan hadapan lain kerana menghasilkan produk untuk peralatan perubatan, sekali gus bersama-sama membantu memastikan pemulihan daripada pandemik,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427