KUALA LUMPUR: Program realiti memasak popular, Dapur Tempur Selebriti terbitan TV9 kembali dengan musim baharu yang menjanjikan kelainan apabila menampilkan barisan selebriti bersama ahli keluarga berentap merebut gelaran juara.
Dengan penjenamaan baharu iaitu Dapur Tempur Selebriti, musim baharu ini akan bersiaran sebanyak empat episod pada setiap Sabtu bermula 18 November depan, jam 8.30 malam di TV9 dan boleh strim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my.
Dapur Tempur Selebriti menjanjikan medan pertempuran lebih meriah dan mencabar bersama lapan pasangan duo keluarga selebriti yang akan menguji kepakaran masing-masing termasuk cara bekerjasama dalam menyediakan hidangan mengikut kriteria ditetapkan.
Antara selebriti terbabit termasuk pasangan suami isteri, Achey dan Anne; Ain Edruce dan Amirul (suami isteri); Shuib dan Watie (suami isteri); Bella Astillah dan Ina (ibu dan anak), Didie Alias dan Diyana (ibu dan anak), Wani Kayrie dan Mama Kay (ibu dan anak), Siti Sairah dan Mohd Edane (suami isteri) serta Lan Solo dan Sheila (suami isteri).
Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan dan Siaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman, berkata Dapur Tempur berjaya menambat hati penonton TV9 dengan memperkenalkan format pertandingan memasak yang membabitkan pasangan ahli keluarga sejak diperkenalkan.
Justeru, katanya, kali ini TV9 menambah baik program dengan menyajikan versi selebriti yang perlu menyediakan hidangan masakan barat.
“Pemilihan barisan selebriti dilakukan kerana kami percaya ramai ingin menyaksikan aksi mereka bersama ahli keluarga di dapur dan bertempur dengan lawan memasak makanan melalui cabaran diberikan.
“Selain itu, mereka dipilih berdasarkan personaliti menarik dan pastinya telatah mereka dapat mewarnai program Dapur Tempur Selebriti. Kebanyakan mereka diketengahkan buat kali pertama untuk program masakan khas di TV9.
“Kami berharap penonton TV9 akan terhibur dengan menonton Dapur Tempur Selebriti ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
Dalam pada itu, Khairunnisa berkata, Dapur Tempur Selebriti menampilkan Fiza Frizzy sebagai hos serta menggandingkan Chef Naem dan Michael Ang sebagai juri tetap. Manakala, jenama Prego dan Vinda adalah penaja untuk edisi kali ini.
“Kali ini, kami seronok untuk bekerjasama dengan Prego dan Vinda sebagai rakan penaja. Oleh itu, kami sepakat untuk memberi fokus kepada masakan Barat.
“Ia akan mengetengahkan bagaimana mudahnya penggunaan Prego dalam menyediakan masakan barat dan keberkesanan Vinda untuk memastikan kebersihan di ruang dapur terjaga semasa kita memasak,” katanya.
Di setiap episod, dua pasangan keluarga selebriti akan bertempur antara satu sama lain untuk mencipta dua hidangan barat berdasarkan ramuan pada minggu berkenaan.
Antara cabaran bakal dilalui adalah setiap pasangan perlu memilih satu daripada tiga bakul misteri mengandungi ramuan memasak.
Pada penghujung program, pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri berdasarkan cita rasa, persembahan hidangan dan cara kerja berpasukan.
Pemenang mingguan akan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta hadiah tajaan Prego selama setahun.
Selain itu, Vinda turut menyumbang barangan selama setahun khusus untuk pemenang episod satu dan dua.
-BeritaHarian