KWSP lancar e-Payroll, bantu majikan PKS

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan e-Payroll, penambahbaikan terhadap portal iAkaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan tanggungjawab berkanun majikan, termasuk caruman KWSP, secara digital.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pihaknya sedar akan peranan digitalisasi yang semakin penting dalam kehidupan seharian, malah situasi pandemik Covid-19 mendorong untuk semua mengadaptasi teknologi digital dengan pantas dan lebih tepat.

“Di KWSP, kepentingan ahli sentiasa diutamakan dalam setiap pendekatan yang kami ambil, di samping inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.

“Perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan iAkaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya,” katanya di majlis pelancaran e-Payroll secara maya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sistem e-Payroll ini dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Kerjasama erat ini akan memastikan keperluan undang-undang kekal tepat dan terkini dalam sistem e-Payroll.

Ahmad Badri berkata, KWSP akan terus berkembang untuk kekal relevan dalam era kemajuan teknologi yang pesat serta perubahan yang dinamik dalam landskap pekerjaan.

“Digitalisasi akan memastikan kami memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi, di samping memenuhi ekspektasi ahli dan majikan,” katanya.-METRO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464