PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual 7.92 juta saham AirAsia Group Berhad dalam tempoh seminggu.
Menurut 2 pemfailan berasingan di Bursa Malaysia, dana persaraan itu menjual 7.43 juta saham pada 28 Jan dan 492,500 lagi saham keesokannya.
Selepas penjualan itu, KWSP masih mempunyai 210.4 juta saham yang mewakili 6.29% kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Ini susulan laporan mendakwa AirAsia dan AirAsiaX menerima AS$50 juta rasuah daripada pembuat kapal terbang Airbus.
AirAsia bagaimanapun menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.
Harga saham AirAsia mengalami kejatuhan sejak ia berhenti terbang ke Wuhan, China yang merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat wabak koronavirus pada 23 Jan lalu.
Saham syarikat itu terus merosot selepas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes dan Pengerusinya, Kamarudin Meranun mengumumkan pengunduran selama 2 bulan.
Saham AirAsia Group merosot 5% ketika dagangan di Kuala Lumpur dibuka hari ini, manakala saham AirAsiaX mencatat kerugian 8%.
Pada 10 pagi tadi, saham AirAsia Group jatuh 6 sen atau 4.69% kepada RM1.22 dengan 24.07 juta saham bertukar tangan, manakala saham AirAsiaX susut setengah sen atau 4.17% kepada 12 sen dengan 7.89 juta saham diniagakan. -FMT