Kuching City ‘pemanas badan’ terakhir sebelum final Piala Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU : Bukan sahaja mahu memastikan rekod tanpa kalah kekal sehingga berakhirnya saingan Liga Super malah Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menggunakan kesempatan beraksi menentang Kuching City FC pada aksi di Stadium Sarawak, malam esok sebagai pemanas badan sebelum berentap di final Piala Malaysia, 26 April ini.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, dua perlawanan yang bakal diharungi iaitu menentang Kuching City FC pada saingan terakhir liga dan Sri Pahang FC pada pentas final piala berprestij amat penting buat skuad Harimau Selatan bagi memastikan pengakhiran skuad itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan cemerlang.

“Bukan aksi yang begitu mudah buat JDT dan ia pastinya sukar tatkala Kuching City FC tampak begitu menyerlah dalam saingan liga selepas prestasi mereka meningkat mendadak apabila berada di kedudukan 13 liga dan kini melonjak ke tangga keempat.
“Ia perlawanan terakhir dalam saingan liga dan kami perlu membuat persiapan yang rapi selain memberi fokus kepada diri sendiri untuk lebih bersedia berdepan skuad bimbingan Aidil (Sharin Sahak) yang berjaya mencipta kemenangan lima atau enam perlawanan lalu dan saya akui ia perlawanan sukar buat kami.

“Untuk itu pemain JDT harus tonjolkan potensi sebenar apabila turun beraksi dan kekal dengan corak permainan berintensiti tinggi dan ia juga perlawanan pemanas badan sebelum kami berdepan Sri Pahang pada aksi final Piala Malaysia,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga tidak menafikan saingan Liga M pada musim ini cukup mencabar dan barisan pemain JDT tidak terlepas daripada tekanan tatkala saingan agak panjang yang membabitkan aksi perlawanan tempatan dan termasuk kancah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Ditanya mengenai kelibat Begson da Silva sama ada mampu muncul penjaring sepanjang zaman liga selepas mengumpul 104 jaringan sejak menyertai JDT pada musim 2021 bagi mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin yang menjaring 106 gol dan ketika ini Bergson juga turut muncul penjaring terbanyak liga dengan 31 gol, Bidoglio berkata semuanya terserah kepada kredibiliti pemain import dari Brazil itu.

“Saya berharap Bergson menyerlah pada aksi menentang Kuching City dan mungkin boleh jaring lima gol lagi nanti dan saya percaya dia tahu tugas utama adalah membantu pasukan JDT dan mengekalkan corak permainan yang lebih agresif bagi memburu kemenangan terakhir liga,” ujar Bidoglio.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464