Krisis perbankan AS menggoncang pasaran, Bursa Malaysia menjunam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 20 Mar 2023 (The Capital Post): Bursa Malaysia diniaga rendah pada sesi awal dagangan Isnin di tengah-tengah sentimen pasaran yang tidak menentu ekoran kebimbangan mengenai krisis perbankan AS dan Credit Suisse.

-Advertisement-

Pada 9.25 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI turun 9.83 mata atau 0.70 peratus kepada 1,401.90 daripada 1,411.73 pada penutupan urus niaga Jumaat.

Pasaran dibuka pagi ini pada paras 1,411.73, lemah sebanyak 3.55 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 299 berbalas 169 manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,545 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 536.08 juta unit bernilai RM206.08 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan akan kekal tenang selepas pengumuman UBS akan mengambil alih Credit Suisse, walaupun ketidaktentuan mungkin berterusan berikutan penurunan Wall Street pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan yang berlarutan mengenai kegawatan perbankan AS dan krisis Credit Suisse.

“Sementara itu, peniaga akan memantau keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia menambah, kaunter berkaitan emas mungkin meraih momentum kerana kegawatan yang melanda sektor perbankan AS mendorong minat terhadap emas.

“Sektor defensif lain seperti telekomunikasi, keperluan pengguna dan sektor penjagaan kesihatan juga dijangka menyerlah,” katanya.

-Advertisement-

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM5.85, CelcomDigi tidak berubah pada RM4.05 dan Maybank turun dua sen menjadi RM8.36.

Public Bank susut satu sen kepada RM3.96, Petronas Chemicals lemah 24 sen kepada RM6.99, CIMB turun lima sen kepada RM5.17 dan TNB kerugian lapan sen kepada RM9.47.

Antara saham aktif, Green Packet dan Jade Marvel masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 6.5 sen dan 31.5 sen.

Minda Global dan BSL Corp, kedua-duanya tidak berubah pada 14.5 sen dan empat sen, manakala Top Glove turun 1.5 sen kepada 90 sen dan Zen Tech susut setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan sebanyak 60.85 mata kepada 10,275.55, Indeks FBMT 100 menguncup 60.24 mata kepada 9,968.64 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 64.23 mata kepada 10,603.01.

Indeks FBM 70 merosot 40.51 mata kepada 13,325.14, tetapi Indeks FBM ACE menokok 27.82 mata kepada 5,276.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 65.74 mata kepada 15,473.97, Indeks Perladangan turun 62.71 mata kepada 6,809.61, Indeks Tenaga lemah 8.64 mata kepada 814.22 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.74 mata kepada 168.31.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427