Kreativiti seni kait kini berinovasi, pelbagai pilihan

Estimate Reading Time: 3 minutes

Apabila menyebut mengenai seni kait, pasti ramai terlintas barangan dihasilkan antaranya adalah seperti alas meja, baju panas, pakaian bayi dan kotak tisu.

Bagaimanapun, seiring peredaran zaman, barangan seni kait kini turut tampil berinovasi dengan pelbagai pilihan seperti jambangan bunga, rantai kunci, anak patung, beg tangan dan macam-macam lagi.

Kepelbagaian itu menyebabkan barangan hasil tangan seni kait semakin menjadi pilihan hingga menyebabkan tukang kait tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Berkebolehan mengait pelbagai barangan kait, Salawati Abas, 57, berkata jika dahulu barangan seni kait dihasilkannya terbatas, kini dengan kemahiran yang sama, pelbagai rekaan boleh dibuat.

Malah katanya, semuanya hanya dipelajari menerusi aplikasi dan media sosial seperti YouTube, TikTok, Instagram dan Facebook sahaja.

“Dengan kemahiran yang ada juga, saya boleh mereka cipta sendiri apa sahaja bentuk yang ingin dikait seperti beg, bunga atau patung dalam pelbagai bentuk.

“Sekarang ini orang ramai suka menempah jambangan bunga dan bunga dalam kotak kerana ia sesuai untuk semua acara termasuk Hari Guru, majlis perpisahan, hari graduasi dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Salawati yang berkerja sebagai kerani di Bestari Jaya, Kuala Selangor, menjadikan seni kaitan itu sebagai kerja sambilan berkata, tempoh diambil untuk menyiapkan sebarang tempahan bergantung kepada jenis barangan.

Dia mampu menyiapkan dua jambangan bunga dalam tempoh seminggu, manakala barangan yang kecil seperti rantai kunci dalam tempoh dua hari.

“Walaupun ini bukan pekerjaan hakiki saya gembira melakukannya, malah dalam tempoh dua tahun ini, saya aktif semula mengait, tidak sangka dapat sambutan,,” katanya yang banyak menerima tempahan menerusi Facebook.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia minat mengait sejak zaman persekolahan dan di dalam keluarganya tiada sesiapa minat kemahiran itu.

Katanya, ketika berusia 17 tahun, dia melihat makcik yang mengajarnya mengaji al-Quran mengait dan meminta wanita itu mengajarnya.

“Saya kemudian mempraktikkannya dengan mengait alas meja dan alas sofa untuk kegunaan rumah keluarga.

“Selepas tamat sekolah, saya terus belajar lagi di sebuah kedai hingga kemudiannya diberikan tugasan untuk mengait pakaian sejuk untuk pramugara dan juruterbang.

“Bagaimanapun, selepas berkahwin, saya kurang mengait kerana kekangan masa terutama selepas mendapat anak,” katanya.

Salawati berharap perusahaan itu terus berkembang dan lebih ramai terutama anak muda menunjukkan minat

dan memberi tumpuan dalam bidang itu kerana ia mampu menjana pendapatan.

‘Banyak kali kait dan buka semula sebelum mahir’

Sementara itu, Normazita AbuMula belajar mengait kira-kira dua tahun lalu menerusi YouTube dan kini dia semakin mahir dan boleh menghasilkan pelbagai produk seni kait.

Normazita, 45, berkata ia bermula apabila dia melihatnya adiknya, Nornabilah, 29, yang pandai mengait, membuat bekas sarung bekas air dan turut memintanya membuatkan untuknya.

“Tetapi adik saya tidak mahu buat untuk saya. Dia hanya beri benang dan menyuruh saya buat sendiri. Dari situ saya belajar sendiri dari video. Tak sangka saya berjaya siapkan bekas sarung botol air dalam tempoh seminggu sahaja.

“Memang tidak mudah pada mulanya dan banyak kali saya terpaksa membuka dan mengait semula,” katanya.

Kerani di Temerloh, Pahang itu berkata, dia kemudian meneruskan usahanya dengan membuat pelbagai barangan lain.

Katanya, pada mulanya barangan yang dibuat itu untuk kegunaan sendiri, namun rakan-rakan yang melihatnya membuat hantaran di laman sosial, tertarik dan turut memintanya untuk membuatkan untuk mereka.

“Dari situ saya semakin aktif belajar membuat pelbagai barangan seperti jambangan bunga, beg, rantai kunci dan pelbagai anak patung seperti kucing dan arnab mengikut permintaan pelanggan.

“Saya mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari untuk menyiapkan satu tempahan beg dan akan menggunakan sebaiknya masa ketika sedang berehat di pejabat untuk mengait serta pada sebelah malam,” katanya.

Ibu dua anak itu berkata, selain mendapat tempahan dari rakan di pejabat, dia juga banyak menerima tempahan daripada pelanggan di Facebook.

Katanya, rakan di pejabat yang banyak melihatnya mengait, turut sama mula belajar mengait dengannya.

“Jika ada banyak tempahan seperti rantai kunci atau bunga dariPADA pelanggan, saya akan mengupah mereka membantu menyiapkan,” katanya yang menjual setiap barang kait bermula RM8 sehingga RM330 bergantung kepada jenis.

Normazita berkata, walaupun dia baharu dengan dunia mengait, tetapi sebenarnya dari kecil dia sudah didedahkan dengan bidang itu apabila ibunya, Maziah Abdul Rahman, 58, mahir mengait.

Namun katanya, kerana ibunya kidal, jadi dia susah untuk belajar selain ketika itu belum berminat.

“Adik saya bagaimanapun, belajar dengan ibu kerana dia juga kidal, namun dia hanya menggunakan kemahiran itu untuk menjahit barangan untuk dirinya sendiri,” katanya.

Katanya, dua anaknya yang berusia 11 dan 14 tahun tidak berminat dengan kemahiran itu, tetapi seorang anak saudaranya berusia sembilan tahun, amat minat dengan mengait hingga memintanya mengajar.

“Saya tengok dia memang minat, malah dalam usia seawal itu selain seorang lelaki, dia sudah pandai mengait patung dengan cantik.

“Jadi saya berharap, lebih ramai anak muda disemai dengan kemahiran ini sejak kecil supaya bidang ini terus diwarisi zaman berzaman,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464