KPM siasat kebocoran soalan subjek Sejarah SPM – Fadhlina

Estimate Reading Time: < 1 minute

NILAI: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat berhubung dakwaan berlaku kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi kertas subjek Sejarah.

-Advertisement-

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh mengenai soal itu dan memberi jaminan terhadap integriti pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan.

“Kita akan siasat dan ambil penuh tanggungjawab ini. Pada masa sama saya tegaskan, integriti kita cukup tinggi dalam mengawal dan memastikan isu peperiksaan ini dijaga dengan rapi dan dikawal dengan baik.

“SPM adalah peperiksaan nasional dan dari segi integriti, keselamatan dan kawalan adalah sangat ketat.

“Jadi apa saja dakwaan mengenai kebocoran ini, kita akan siasat,” katanya ditemui pemberita selepas program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini, hari ini.

-Advertisement-

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pendidikan, Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin.

Mengulas lanjut, Fadhlina berharap pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM tidak terganggu dengan berita berkenaan bagi membolehkan mereka memberi fokus pada kertas peperiksaan lain.

“Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sudah mencukupi bagi mengelakkan isu kebocoran kertas peperiksaan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM788 juta diperuntukkan untuk pemberian BAP membabitkan lebih lima juta murid yang dijangka selesai sepenuhnya 10 Februari ini.

Katanya, di Negeri Sembilan, sebanyak RM26,458,050 diperuntukkan untuk BAP membabitkan 176,387 pelajar di 478 sekolah.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427