PENDANG, 9 Mac — Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengkaji semula kos pembinaan rumah di kawasan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) yang dilaksanakan di bawah kementerian itu bagi menarik minat kontraktor pembinaan.
Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata pada masa ini kos pembinaan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar luar bandar ditetapkan pada harga RM48,000 seunit menyebabkan banyak kontraktor menolaknya kerana tidak menguntungkan.
“Sasaran kita untuk membina 3,000 unit rumah setahun dan kita serah kepada Giat Mara untuk uruskan tender dan sebagainya, diberi kepada kontraktor buat rumah, setakat ini dengan keluasan 663 kaki persegi dan harganya RM48,000.
“Banyak kontraktor yang tolak, sebab tidak untung, kita sedang kaji harga ini supaya rumah-rumah ini dapat dibina dengan cepat dan teratur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan Taman Desa Tawakkal di PPK Hujung Keton di sini, hari ini.
Mengenai pemilihan penerima rumah berkenaan, Abdul Latiff berkata ia dilakukan dengan telus dan mengambil kira semua aspek bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan rumah itu.
Beliau turut menegaskan agar penerima tidak menyewa atau menjual rumah berkenaan kepada pihak lain bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan kerana melanggar perjanjian.
“Jika kita dapat tahu mereka ada iklan macam-macam jadi tindakan akan diambil. Rumah ini kita berikan kepada mereka untuk didiami dan mereka harus patuhi perjanjian ditetapkan,” katanya.
Taman Desa Tawakkal adalah projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melibatkan peruntukkan sebanyak RM11 juta.
Ia meliputi pembinaan sebanyak 57 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selain kemudahan asas lain seperti jalan dalam penempatan, bekalan elektrik dan air, loji kumbahan serta gelanggang futsal yang telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima pada bulan lepas. -BERNAMA