JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sedang giat memeriksa rantaian bekalan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan polibeg sekilogram di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata ia susulan bekalan minyak masak berkenaan didakwa habis dalam pasaran sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan pengguna resah.
Katanya, pemeriksaan itu dilakukan dari peringkat pengeluar atau pengilang, pemborong hinggalah ke peruncit.
Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP Johor akan mengehadkan pembelian minyak masak berkenaan ke atas setiap pengguna bagi memastikan bekalannya terus mencukupi dalam pasaran, selain mengelakkan ia dimanipulasi oleh sesetengah pihak.
Mohd Hairul Anuar berkata, pihaknya juga sedang mendapatkan data tepat dan terkini susulan dakwaan serta keluhan pengguna di Johor berhubung ketiadaan bekalan minyak masak bersubsidi itu sejak kebelakangan ini.
“KPDNHEP Johor sedang memeriksa rantaian bekalan minyak masak bersubsidi bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang ketirisan pada mana-mana peringkat.
“Sebagai contoh jika ada peruncit atau kedai mendakwa susah untuk mendapatkan bekalan, kita akan mengesan pembekal dan punca masalah,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan harian oleh KPDNHEP Johor secara rawak, bekalan minyak masak bersubsidi itu sepatutnya tiada masalah dan mencukupi.
Namun, katanya, ada kemungkinan bekalan minyak masak berkenaan habis dalam pasaran di sesetengah lokasi kerana ramai pengguna membeli lebih daripada biasa, kebelakangan ini.
“Justeru, KPDNHEP akan mengehadkan pembeliannya oleh setiap pengguna.
“Ini bagi mengelakkan ia dibeli secara berlebihan sehingga pengguna lain tidak berpeluang mendapatkan bekalan itu dalam pasaran,” katanya.
Sebelum ini, tinjauan dilakukan di beberapa pasar, pasar mini dan kedai serbaneka di sekitar Tampoi, Skudai serta Taman Perling, mendapati kebanyakan kedai kehabisan bekalan minyak masak peket dengan mendakwa tiada menerimanya daripada pembekal.
Mengulas lanjut, Mohd Hairul Anuar berkata, sepatutnya tidak timbul masalah bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini, selain bekalan minyak masak botol yang banyak dalam pasaran.
Namun, beliau berkata, KPDNHEP Johor akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan untuk memastikan ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Kita akan mengeluarkan kenyataan, petang ini, selepas meneliti data pemeriksaan dilakukan terhadap rantaian bekalan minyak masak bersubsidi di Johor.
“KPDNHEP Johor akan terus memfokus bukan saja terhadap bekalan minyak masak tetapi juga barang keperluan lain,” katanya.
-BH