Korea Selatan hadkan ‘power bank’ dalam pesawat

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan hari ini mengumumkan langkah bagi memperkukuhkan peraturan keselamatan penerbangan, susulan kebakaran membabitkan pesawat Air Busan bulan lalu.

Peraturan baharu memperincikan had jumlah dan jenis bateri mudah alih yang dibenarkan dalam penerbangan.

Langkah itu akan berkuat kuasa mulai 1 Mac susulan pesawat Airbus milik syarikat penerbangan Korea Selatan, Air Busan, terbakar pada 28 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di selatan Korea Selatan ketika bersedia berlepas ke Hong Kong.

Di bawah langkah keselamatan baharu, penumpang dibenarkan membawa sehingga lima bateri mudah alih dengan kapasiti 100 watt-jam (Wj), manakala bateri yang melebihi 160 watt-jam tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.

Pemeriksaan keselamatan akan membabitkan pemeriksaan terhadap jumlah dan jenis bateri dan pengecasan bateri mudah alih di dalam pesawat akan diharamkan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Selari keputusan serupa yang diambil Air Busan minggu lalu, kementerian itu menyatakan penumpang dilarang menyimpan ‘power bank’ atau pengecas bateri tambahan dan rokok elektronik dalam bagasi yang disimpan di ruang atas (overhead) kabin.

Keputusan itu dibuat sebagai usaha menangani kebimbangan mengenai kebakaran yang berisiko dicetuskan akibat penggunaan bateri mudah alih, kata kementerian, walaupun punca kebakaran pada pesawat Air Busan masih belum dapat disahkan.

Kebakaran itu pertama kali dikesan oleh seorang pramugari di dalam ruang atas kabin yang menempatkan bagasi di bahagian kiri belakang pesawat, kata syarikat penerbangan itu.

Semua penumpang di dalam pesawat berjaya dipindahkan dengan selamat.

Standard penerbangan global menyatakan bateri tidak boleh diletakkan dalam ruangan kargo kerana ia boleh menyebabkan kebakaran yang sangat kuat jika berlaku litar pintas akibat kerosakan atau kecacatan pembuatan.
-REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464