KUALA LUMPUR: Pemilihan penyanyi Bella Astillah dalam Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September depan bukan mahu menumpang ‘kontroversi’ artis sensasi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia, Ilyas Jamil, berkata Bella dipilih sebagai mewakili kepelbagaian etnik dan kaum di negara bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan, tahun ini.
“Memang Bella satu-satunya penyanyi solo yang akan menghiburkan penonton tetapi kami memilih Bella kerana berasal dari Sabah dan secara tak langsung, menunjukkan kepelbagaian etnik dan kaum.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan kosong semata-mata, tetapi kami juga ingin menyuntik nilai murni yang mampu menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan menerusi persembahan muzik yang berunsurkan kenegaraan,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 di ibu negara, baru-baru ini.
Selain Bella, barisan penghibur lain yang dijangka menghangatkan acara termasuklah Spider, Ruffedge, Hujan, Bunkface, Dolla dan Insomniacks.
Menyasarkan kira-kira 15,000 pengunjung, Ilyas berkata, buat pertama kali, Perbadanan Stadium Malaysia bertindak sebagai penganjur.
“Kami hanya sediakan tempat, namun kali ini kami pergi lebih jauh sebagai penganjur dengan hasrat memberi hadiah kepada rakyat Malaysia melalui penganjuran konsert bersesuaian sempena Hari Kemerdekaan.
“Kami juga berharap konsert ini juga akan menjadi medan buat golongan muda menzahirkan rasa cinta terhadap tanah air menerusi muzik,” katanya.
Konsert Jiwa Malaysia 2024 mendapat kerjasama MND Sport & Event selaku penganjur bersama.
Semua artis berkumpulan diberikan masa selama 30 minit atas pentas dengan jangkaan lapan lagu, manakala Bella pula bakal menghiburkan penonton dengan dua lagu.
Sementara itu, Bella berkata, dia masih belum memutuskan lagu yang bakal dinyanyikan, tetapi meminati lagu Standing In The Eyes Of The World daripada Ratu Rock, Ella.
Bagi memastikan persembahan lancar, Bella berkata, dia akan mengikuti kelas vokal sebagai persediaan.
“Ketika syarikat pengurusan maklumkan ada tawaran nyanyian, saya ingatkan ‘show’ biasa dan tak sangka, konsert.
“Ini akan menjadi pengalaman pertama saya mengadakan persembahan di pentas besar.
“Lebih lagi saya berdepan pengalaman ‘terkucil’ di sebuah acara baru-baru ini, lagilah membuatkan saya berdebar dan akan pastikan mampu buat yang terbaik malam konsert,” katanya.
-BeritaHarian