Konflik manusia-gajah di Sabah: elakkan pembangunan di kawasan sensitif

Estimate Reading Time: 3 minutes

KOTA KINABALU, — Insiden kumpulan gajah liar memasuki kawasan penempatan khususnya beberapa perkampungan di Sabah bukanlah perkara baharu, malah sering mendapat perhatian media dan menjadi tajuk utama akhbar tempatan.

-Advertisement-

Kejadian seumpama itu seolah-olah tidak berpenghujung, bahkan sejak kebelakangan ini ia semakin kerap berlaku meskipun terdapat pelbagai kerangka kerja dan mekanisme diambil pihak berkuasa terlibat untuk mengatasi perkara tersebut daripada terus berulang.

Penduduk kampung, pekebun dan peneroka turut melahirkan kebimbangan terhadap ancaman gajah kerana kehadiran hidupan liar itu dikhuatiri ‘mengganas’ dan boleh menjejaskan keselamatan selain memusnahkan tanaman seperti kelapa, pisang, getah dan kelapa sawit.

Terbaharu, insiden dua gajah pygmy dipercayai kelaparan tiba-tiba masuk ke Pusat Penempatan Masyarakat Setempat Sukau, Kinabatangan, untuk mencari makanan telah mengejutkan penduduk setempat, pada September lepas.

Persoalannya, sampai bilakah fenomena ini akan berterusan Apakah resolusi komprehensif seharusnya diambil bagi menangani natijah konflik manusia dan gajah liar ini Dan, mungkinkah kurang kesedaran dan kefahaman dalam kalangan penduduk tentang kepentingan hidup harmoni bersama hidupan liar itu

Pengarah Projek Seratu Aatai Dr Nurzhafarina Othman berkata konflik manusia dan gajah liar di Sabah terus berlaku kerana kebanyakan pelan atau aktiviti pembangunan dan perladangan dilakukan di negeri ini, pada masa sekarang, masih tidak mengambil kira keperluan hidupan lain yang turut berkongsi sumber untuk terus hidup.

Menjelaskan perkara itu kepada Bernama, Nurzhafarina berkata, sekiranya aktiviti pembangunan diteruskan khususnya di kawasan sensitif seperti Kinabatangan dan Tawau, insiden seumpama itu tidak akan berpenghujung malah akan terus berlarutan sehingga boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan manusia dan gajah.

“Saya tidak terkejut dengan peningkatan kes konflik yang memberi kesan negatif kepada manusia dan gajah sekiranya aktiviti pembangunan masih diteruskan di kawasan sensitif,” katanya.

Sehubungan itu, Nurzhafarina mahu kerajaan termasuk mana-mana pihak berkaitan untuk sentiasa peka terhadap fenomena konflik manusia dan gajah liar di Sabah dengan mengelakkan sebarang aktiviti pembangunan di kawasan sensitif yang sememangnya sudah sedia terganggu.

-Advertisement-

Beliau juga berpendapat wujudnya keperluan untuk menambah aset dan sumber manusia dalam agensi yang bertanggungjawab memelihara dan memulihara biodiversiti di Sabah selain usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri perladangan.

Mengulas lanjut, Nurzhafarina berkata beberapa kawasan di Sabah yang diwartakan sebagai dilindungi tidak begitu sesuai dengan keperluan hidupan gajah liar dan situasi tersebut turut menyumbang kepada berlakunya konflik manusia dan gajah.

Mengambil contoh Kinabatangan dan Tawau, Nurzhafarina berkata, kawasan dilindungi di Kinabatangan adalah berpaya dan kawasan seperti Maliau Basin, Imbak Canyon dan Tawau Hills pula berbukit.

“Di samping itu, kebanyakan ladang kelapa sawit pada masa sekarang sedang membuat penanaman semula. Ini akan menarik perhatian gajah kerana hidupan liar ini tertarik dengan umbut kelapa sawit dan sekali gus akan menyebabkan gajah berada lebih lama di dalam kawasan ladang,” jelasnya.

Katanya, perilaku gajah yang tidak terlalu takut dengan kehadiran manusia terutama gajah jantan juga menyumbang kepada berlakunya konflik dan boleh menyebabkan kemalangan apatah lagi sekiranya penduduk setempat tidak mengambil tahu tentang perilaku gajah ketika membuat pengawalan.

Dalam hal ini, penduduk setempat juga perlu diberikan kesedaran dan galakan sikap positif untuk hidup dengan hidupan liar secara harmoni memandangkan masih terdapat sebilangan besar masyarakat belum bersedia daripada aspek kemahiran dan kemahuan ke arah itu, katanya.

Menyedari hakikat itu, Nurzhafarina bersama pasukan Projek Seratu Aatai antara lain mengambil inisiatif memberi pendidikan dan mempromosikan kepentingan mengenali, mencintai, melindungi dan memulihara gajah di Sabah dalam kalangan masyarakat menerusi media sosial Facebook sejak 2017.

Ia adalah bukti komitmen dan dedikasi Seratu Aatai, yang bermaksud bersatu hati dalam bahasa Sungai, bagi memupuk kefahaman serta menggalakkan orang ramai untuk terus mengambil berat tentang populasi gajah di Sabah ke arah mewujudkan kehidupan harmoni antara manusia dan hidupan liar.

Laman Facebook Projek Seratu Aatai antara lain turut memaparkan beberapa aktiviti dijalankan badan bukan kerajaan itu seperti mengesan pergerakan gajah di Kinabatangan serta program keterlibatan penduduk dalam usaha konservasi demi memastikan kelangsungan hidup haiwan liar berkenaan.
— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427