GELSENKIRCHEN, Jerman: Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany memuji penyerang veterannya Thomas Mueller yang mengambil kesempatan sesekali diberi peluang dalam kesebelasan utama musim ini untuk meletakkan pasukan di depan menentang Shakhtar Donetsk selepas ketinggalan awal pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
“Golnya satu kualiti yang sering dimiliki dalam kariernya, tepat pada masanya, tempatnya dan dia menjaringkan gol itu secara amat berkesan,” kata Kompany kepada wartawan selepas menang 5-1.
“Kemudian sudah tentu tenaga, keinginan kuat, kepimpinan. Bagi kami ia amat penting untuk mempunyai keseimbangan yang baik antara pemain berpengalaman dan pemain muda yang masih perlu dikembangkan.”
Mueller hanya bermula sekali dalam lima aksi terakhir Bayern dalam pertandingan itu, dengan Harry Kane diketepikan kerana cedera dan pemain berusia 35 tahun itu tampil bergaya dan berada di posisi sempurna untuk meletakkan Bayern di depan sejurus sebelum rehat sekali gus memulakan kebangkitan.
“Saya fikir sering kali jelas dia masih boleh memainkan peranan penting buat kami, sekalipun kadang-kadang ia tidaklah setiap minit dalam musim,” kata Kompany.
“Saya fikir ia kerana dia terlalu berpengalaman, dia tahu betapa pentingnya detik itu.
“Dia boleh mengubah arus perlawanan tetapi kami beraksi dalam Liga Juara-Juara, anda tidak boleh selalu mendominasi perlawanan tanpa lawan mencipta sebarang peluang.
“Ketika ini ia peluang buatnya dan dia melakukan sesuatu yang penting buat pasukan. Sudah tentu, secara keseluruhan saya fikir kami amat dominan, kami bermain bagus dan ia satu detik penting.”
– REUTERS
-BeritaHarian