KOM puas hati prestasi di Sukan SEA 2019

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Kem olahraga negara menunjukkan prestasi positif sekali gus menunjukkan petanda baik untuk cemerlang pada edisi 2021 apabila berjaya melunaskan sasaran lima pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina seperti disasarkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

-Advertisement-

Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar mengakui berpuas hati dengan pencapaian atlet dan menurutnya jika usaha berterusan dilaksanakan dengan baik, masa depan sukan olahraga pasti lebih cerah.

“Bagi sukan olahraga, kita capai apa yang kita hendak. Memang puas hati dengan pencapaian atlet sama ada kategori A atau B, walaupun kita hilang beberapa pingat.

“Kita boleh lihat masa depan di Sukan SEA 2021 di Hanoi, kita sudah ada pelapis. Kita kena buat persiapan awal. Kita perlu beri lebih pendedahan kepada atlet. Macam tahun ini, ada beberapa atlet sangat kurang menyertai kejohanan,” katanya dalam wawancara yang disiarkan melalui Bernama TV hari ini.

Selain meraih lima pingat emas, skuad olahraga juga turut menghadiahkan sembilan perak dan tujuh gangsa buat kontinjen Malaysia – di mana kejayaan mereka itu boleh dianggap sebagai pencapaian membanggakan di luar Kuala Lumpur.

-Advertisement-

Lima pingat emas itu menerusi Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100m lelaki, Andre Anura Anuar (lompat jauh lelaki), Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Mumtaz berkata beliau tidak terkejut dengan kejayaan yang diraih oleh Muhammad Haiqal yang berjaya mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara, yang diraih Khairul Hafiz Jantan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dan serta kejayaan Andre Anura melepasi jarak lapan meter, sekali gus melakar rekod kebangsaan baharu.

“Saya rasa dia bakal jadi pencabar utama untuk Hakimi Ismail. Peningkatan prestasi yang bagus. Mereka dari program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Muhammad Haiqal.

“Saya tidak terkejut sebab mereka jalani latihan dan menyertai kejohanan dengan cemerlang. Inilah hasil daripada program pembangunan kita. Saya harap mereka ambil pengalaman dari Sukan SEA Filipina,” katanya.

Dalam masa sama, Mumtaz berkata KOM dan barisan kejurulatihan akan segera berbincang mengenai program jangka panjang bagi memastikan atlet sedia ada dapat mengekalkan prestasi mereka untuk menghadapi Sukan SEA 2021.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427