KUALA LUMPUR: Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar mahu melihat sendiri dokumen diberikan KL City FC kepada First Instance Body (FIB) yang memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan itu untuk beraksi di Liga Super 2024/25.
Ini kerana Syed Yazid hairan bagaimana pasukan itu yang berdepan isu kewangan agak serius dibenarkan untuk bertanding selepas bukan sahaja berdepan tunggakan gaji malah pasukan itu tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Februari 2023.
Justeru dia mahu meminta penjelasan daripada FIB mengenai isu pelesenan pasukan itu memandangkan tunggakan KWSP pada bulan Februari 2023 itu berlaku ketika saingan liga musim lalu sedang berjalan.
“Kita tahu kewangan kita sangat tidak sihat jadi memang kita boleh cakap yang kewangan kita tidak stabil. Jadi pada pandangan saya, kita memang sukar untuk beraksi di Liga Super dengan hutang yang banyak.
“Bukan sahaja pembayaran gaji, KSWP dan ada lagi bayaran lain seperti pengangkutan, stadium, makan dan minum, hotel jadi sebab itulah saya rasa memang sukar untuk kita bermain di Liga Super.
“Tetapi saya tidak tahu bagaimana FIB boleh memberikan lesen kepada KL City FC, jadi sebab itulah saya nak tengok sendiri dokumen yang dihantar KL City FC kepada FIB dan meminta penjelasan daripada mereka berhubung isu ini,” katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan bukan setakat gaji tertunggak berbulan-bulan lamanya, malah KL City FC juga tidak melunaskan pembayaran KWSP sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM719,000.
Perkara itu jelas mengejutkan Syed Yazid yang hanya mengetahui mengenai perkara itu apabila membuat inisiatif untuk pergi ke kaunter KWSP, semalam.
Dalam perkembangan lain, Syed Yazid turut mengesahkan sedikit berita baik buat pemain KL City FC selepas pihaknya akan cuba menyelesaikan isu tunggakan gaji bagi bulan April dan Mei dalam masa terdekat.
“Kalau sudut saya sendiri, memang saya kena bayar penuh kerana kita kena ikut kontrak yang dipersetujui. Jadi kita sudah terlepas beberapa bulan dan saya tidak bersetuju kalau kita minta diskaun kerana kita kena bayar gaji pemain secara penuh.
“Kalau tidak, ini tidak adil kepada pemain yang ada komitmen sendiri. Pemain pun perlu telus dan berani. Saya pun pelik kenapa tiada pemain bersuara mengenai perkara ini (tunggakan caruman KWSP),” katanya.
-BeritaHarian