KKR perlu wujudkan pasukan tindakan pantas selesaikan aduan dari aplikasi MyJalan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) dicadang agar mewujudkan pasukan tindakan pantas bagi mengendalikan setiap aduan diterima daripada pengguna menerusi aplikasi MyJalan.

-Advertisement-

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Rozmi Ismail, berkata ia bagi memastikan segala tindakan susulan termasuk kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan raya yang diadukan pengguna di aplikasi itu dapat diselesaikan segera.

“Harus diingat setiap aduan itu pada asasnya membabitkan isu keselamatan pengguna, jadi tindakan perlu segera diambil.

“Juga harus ada satu SOP (prosedur operasi standard) yang jelas, misalnya setiap aduan diterima wajib diselesaikan dalam satu tempoh yang wajar dan untuk menjayakannya kementerian perlu sentiasa mempunyai tenaga kerja dan sumber yang mencukupi pada setiap masa,” katanya kepada Bernama.

MyJalan yang telah dilancarkan pertengahan bulan ini adalah platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan dan semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun yang bukan diselenggara KKR.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Fahami Ashrof Badaruddin, berpendapat antara aspek yang perlu diberi tumpuan untuk memastikan aplikasi berkenaan berjaya mencapai objektif ialah dengan menentukan segala kerja-kerja pembaikan dilakukan kontraktor berkelayakan.

Beliau berkata, ia meliputi kemampuan kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan dengan spesifikasi yang betul.

“Tak guna juga kalau semua aduan itu diselesaikan segera tetapi buat kerja tangkap muat tanpa ikut spesifikasi sehingga cepat rosak dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, pengguna jalan raya Ainu Adilah Mustafa, 26, menyambut baik pengenalan aplikasi berkenaan yang menunjukkan kementerian menggunakan pendekatan seiring dengan kemajuan teknologi.

“Ada aplikasi ni senang, dengan beberapa maklumat asas sahaja kita sudah boleh panjangkan aduan kepada pihak berkaitan tanpa perlu ke pejabat kerajaan atau ke kaunter aduan, hanya melalui aplikasi ini sahaja,” katanya. – BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427